AM > BERITA

Lebih 200 Graduan IKBN Miri terima Sijil

26/10/2024 06:55 PM

MIRI, 26 Okt (Bernama) -- Sebanyak 226 graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri menerima sijil lanjutan dan sijil pada majlis konvokesyen ke-16 institut itu di sini hari ini yang disampaikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan Adam Adli ketika berucap pada majlis berkenaan berkata pengajian di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) menggabungkan 80 peratus latihan kemahiran dan 20 peratus program pembangunan insan.

“Pendekatan ini dilihat mampu memperkukuh disiplin pelajar di samping mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa hadapan yang semakin kompleks,” kata Adam Adli menerusi kenyataan itu.

Menurut KBS, Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini membuktikan komitmen kerajaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peruntukan RM7.5 bilion berbanding RM6.8 bilion sebelum ini.

"Langkah itu bertujuan memastikan belia, terutama golongan rentan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan memperkukuh kerjasama dengan industri.

“Menuju 2030, seiring hasrat Kerajaan meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada 35 peratus dalam sektor ekonomi negara, KBS terus komited menambah baik dan menawarkan kursus-kursus berkualiti seiring perubahan teknologi terkini untuk memastikan golongan belia lebih berdaya saing, relevan dan menepati keperluan industri,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan