AM > BERITA

BIGSABAH Sale Perkenal GM Klang Sebagai Pusat Borong Terbesar Di Malaysia

27/10/2024 09:41 AM

KOTA KINABALU, 26 Okt (Bernama) -- BIGSABAH Sale 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sejak semalam hingga esok adalah platform untuk memperkenalkan GM Klang sebagai pusat pemborong terbesar di Malaysia.

Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang Nurhani Yasmeen Mohd Zainan berkata ramai orang, khususnya dari Sabah, Sarawak dan negara jiran belum mengetahui GM Klang sebagai pusat borong terbesar di Malaysia dan program ini mampu mengetengahkan jenama ini. 

“Dalam program ini GM Klang mempunyai 10 reruai dan sebanyak lapan pemborong menyediakan pelbagai jenis barangan seperti peralatan memasak, beg, perhiasan dan makanan.

“Pempamer termasuk Elena Fashion, iGOZO, PQ Bagss, Boston Concept Store, A to Z Fashion Wholesale, Omiso Global, Kiriman Kampung, dan Pusat Borong Terlajak Murah, menawarkan pelbagai pilihan barangan pada harga yang tidak dapat ditandingi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

“Kita harap para pemborong kali ini dapat menghabiskan stok mereka selain mencari pembeli berpotensi yang boleh menjadi rakan kongsi perniagaan mereka di Sabah termasuk peniaga serta ejen,” katanya.

Terdapat 315 reruai dalam acara itu termasuk 30 dari Brunei, 10 (Thailand), empat (Indonesia) dan dua (Filipina) manakala 10 lagi dari GM Klang - bandar borong di Malaysia yang terkenal dengan rangkaian pelbagai produk bagi pasaran antarabangsa.

Ditanya mengenai pembukaan cawangan GM Klang di Sabah, Nurhani Yasmeen berkata setakat ini pihaknya belum mempunyai cadangan mengenai hal ini.

“Mungkin satu hari nanti kalau ada permintaan kita akan buka GM Sabah pula,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan