AM > BERITA

Tiada Unsur Kerja Lebih Atau Buli Dalam Kes Kematian Doktor Di Hsj - Lukanisman

27/10/2024 08:43 PM

GEORGE TOWN, 27 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tiada unsur kerja berlebihan atau buli dalam kes kematian seorang doktor di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini yang didakwa berpunca akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata ia berikutan siasatan awal mendapati, terdapat 30 pengamal perubatan yang bekerja ketika doktor itu bertugas, berbanding maksimum 25 doktor pada satu-satu masa.

“Namun begitu, kami sedang menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut, malah kita bukan sahaja melihat (kes buli) di Pulau Pinang, tetapi juga pada peringkat nasional, kita sedang menangani semua kes buli (yang ada)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (Bebas) yang dijalankan serentak dengan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 Peringkat Pulau Pinang di Medan Renong dan Jalan Penang di sini hari ini.

Pada 17 Okt lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM sedang menyiasat kes kematian melibatkan seorang doktor di sebuah hospital di Seberang Jaya pada Jun lepas yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan perbuatan buli serta beban kerja melampau.

Mengulas lanjut, Lukanisman menegaskan KKM tidak akan berkompromi dengan sebarang kejadian buli yang berlaku di mana-mana fasiliti kementerian di seluruh negara, termasuk insiden kematian pakar perubatan patologi hospital di Lahad Datu, Sabah di kediamannya pada 29 Ogos, yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan