AM > BERITA

KPDN Selangor, Kerajaan Negeri Teliti Pelaksanaan Kad Diskaun Galak Peniaga Terus Tawarkan Menu Rahmah

28/10/2024 07:52 PM

KLANG, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri memperinci mekanisme pelaksanaan kad diskaun bagi membolehkan peniaga Menu Rahmah membeli barangan yang ditawarkan menerusi Jualan Ehsan Rahmah dikelolakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). 

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata langkah itu diambil sebagai sebahagian daripada inisiatif menggalakkan peniaga makanan untuk terus melaksanakan penjualan Menu Rahmah di premis masing-masing.

Beliau berkata perkara itu telah dicadangkan di peringkat Persekutuan dan pihaknya sedang memperhalusinya kerana ketika ini penjualan barangan di Jualan Ehsan Rahmah di Selangor dikawal dan peniaga tidak dibenarkan membeli bagi memastikan hanya mereka yang layak dapat menikmati faedah pembelian pada harga lebih rendah. 

“Penggunaan kad bagi mengenal pasti peniaga yang menawarkan Menu Rahmah sebagai sebahagian jualan mereka itu kini sedang diperincikan bagi mengelak salah guna dan memastikan pelaksanaan yang teratur. 

"Perkara ini telah pun dicadangkan dan kini sedang diperhalusi dengan ia berkemungkinan akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya selepas melakukan tinjauan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail.

Mohd Zuhairi berkata demikian ketika mengulas sama ada KPDN Selangor mempunyai sebarang cadangan untuk meningkatkan semula penyertaaan peniaga untuk menawarkan Menu Rahmah. 

Sementara itu, Rizam berkata pihaknya menyambut baik cadangan berkenaan dan ia sedang diselaraskan kerajaan negeri, sekali gus menyeru supaya peniaga kekal menawarkan Menu Rahmah. 

Beliau berkata pihaknya belum mempunyai angka rasmi peniaga yang menghentikan jualan Menu Rahmah, namun memantau rapat perkembangan berkenaan agar perkara itu dapat ditangani segera.

"Kita memang mengharapkan supaya semua peniaga dapat menawarkan Menu Rahmah ini sebab ia dapat membantu masyarakat dengan tawaran harga yang dianggap berpatutan," katanya. 

Inisiatif Menu Rahmah diasaskan oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub melibatkan penyertaan secara sukarela peniaga untuk menawarkan jualan makanan dengan harga serendah RM5 dalam meringankan beban masyarakat. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan