CYBERJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Media digesa mematuhi Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dalam semua pelaporan dan penerbitan yang melibatkan kanak-kanak, kata Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Dr Farah Nini Dusuki.
Beliau berkata menerusi Seksyen 15 Akta 611, laporan media melibatkan kanak-kanak tidak boleh mendedahkan antaranya gambar, alamat, institusi pendidikan atau butiran yang dikira boleh membawa pengenalan mereka.
Dr Farah Nini berkata penalti terhadap perlanggaran Seksyen 15 (1) dan 15 (2) Akta 611 ialah denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kepada kedua-duanya.
“Pematuhan (media) amat rendah. Malah, bila saya google (ada) banyaklah contoh-contoh (pelaporan sensasi libat kanak-kanak).
“Kenapa anda nak gunakan perkataan seperti itu? (dalam laporan). Saya tahu ia untuk tingkatkan sensasi, tapi perlukah (ayat sensasi),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘melindungi hak kanak-kanak’ untuk pengamal media anjuran Malaysia Malaysian Press Institute (MPI) di sini hari ini.
Turut hadir Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Ainol Amriz Ismail.
Sementara itu, Yong dalam ucapannya berkata media perlu bertanggungjawab dan beretika ketika membuat pelaporan, supaya laporan diterbitkan tidak menjejaskan masa depan kanak-kanak.
“Jangan sangat ghairah mengejar byline.. stigma kekal bersama keluarga dan kanak-kanak selamanya… ia perlu anda ambil kira,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial