AM > BERITA

Malaysia Saran Dana ASEAN-India Dioptimumkan, Teroka Kerjasama Libat Kemampanan Pertanian

30/10/2024 09:02 PM

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Malaysia menyarankan agar dana ASEAN-India dioptimumkan untuk meneroka bidang kerjasama khususnya inisiatif berkaitan kemampanan pertanian dan mitigasi perubahan iklim.

Saranan itu dinyatakan pada mesyuarat kali ke-8 Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN-India (AIMMAF) diketuai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu secara dalam talian pada 25 Okt lepas. 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat berkenaan membincangkan status pelaksanaan Medium-term Plan of Action for ASEAN India Cooperation in Agriculture and Forestry (2021-2025).

“Ia antaranya kemajuan dalam usaha promosi pelaburan, pembangunan modal insan dalam sektor makanan, pertanian, perhutanan dan perikanan serta pengukuhan daya tahan sistem ekologi.

“Mesyuarat turut mengetengahkan kepentingan amalan kemampanan pertanian dan pertanian regeneratif dalam mengukuhkan keterjaminan makanan serantau,” mengikut kenyataan itu.

KPKM menyatakan Malaysia mengambil maklum kemajuan Medium-term Plan of Action for ASEAN-India Cooperation in Agriculture and Forestry (2021-2025) dan menggalakkan negara anggota ASEAN (AMS) dan India untuk terus mengenal pasti projek dan program yang berpotensi untuk dilaksanakan di masa hadapan.

Mesyuarat AIMMAF bersetuju supaya AMS dan India menumpukan kerjasama berteraskan aspek kemampanan pertanian yang merangkumi usaha penyahkarbonan dan pengurangan penggunaan racun kimia.

“Kerjasama turut meliputi aspek pencegahan amalan pembakaran tanaman, pemerkasaan pendigitalan, penyebarluasan aplikasi sains dan teknologi dalam sektor makanan, pertanian dan perhutanan,” kata kenyataan itu.

KPKM memaklumkan penyertaan Malaysia dalam AIMMAF yang dianjurkan Myanmar secara dalam talian tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan Malaysia kepada rejim tentera Myanmar sebagai kerajaan Myanmar yang sah.

Mesyuarat AIMMAF yang seterusnya akan diadakan pada 2026 di India.

AIMMAF merupakan mesyuarat dwi-tahunan yang membincangkan aspek kerjasama ASEAN-India dalam bidang pertanian dan perhutanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan