AM > BERITA

Pelantikan Azalina Sebagai Presiden IACA Bukti Kesungguhan Kerajaan Banteras Rasuah

30/10/2024 10:11 PM

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Pelantikan Malaysia sebagai Presiden Assembly of Parties (AoP) Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) merupakan penghormatan besar kepada negara dan membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam usaha membanteras rasuah di peringkat global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pelantikan itu juga merupakan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen utuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendirian tegas beliau terhadap isu rasuah, suatu fakta yang diketahui umum di seluruh dunia.

"Pelantikan ini bukan sahaja memberi ruang kepada Malaysia untuk menzahirkan komitmen dan kepimpinan negara dalam usaha pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa, bahkan satu amanah untuk membawa perubahan yang lebih bermakna dalam usaha sejagat memerangi rasuah," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) hari ini.

Azalina dilantik Presiden AoP IACA bagi sesi ke-13 dalam perhimpunan AoP yang diadakan di Vienna International Center, Vienna hari ini. 

Sementara itu, BHEUU, JPM dalam kenyataan yang sama memaklumkan pelantikan bersejarah itu merupakan kali pertama Malaysia diamanahkan untuk memegang jawatan tertinggi dalam AoP IACA, suatu platform utama bagi pembangunan kapasiti global dalam pencegahan rasuah. 

Sebagai presiden, Azalina akan memimpin Biro AoP serta keanggotaan IACA yang terdiri daripada 77 negara dan empat pertubuhan antarabangsa dalam pembentukan dasar dan strategi IACA untuk memperkukuh peranan akademi berkenaan dalam bidang pendidikan dan latihan antirasuah profesional. 

Sejak sesi pertama AoP IACA yang berlangsung pada 2012, Malaysia hanya pernah dipilih sebagai naib presiden dalam empat sesi mesyuarat iaitu pada sesi 2014, 2015, 2019 dan 2023.

Menurut kenyataan itu, pengiktirafan IACA kepada Malaysia menjadi pelengkap kepada pelbagai inisiatif anti rasuah yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk Strategi Nasional Antirasuah (NACS) 2024-2028, yang bertujuan untuk memerangi rasuah dan mempromosikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti di pelbagai sektor. 

"Ini termasuk juga beberapa inisiatif yang secara aktif dijalankan oleh BHEUU, JPM merangkumi reformasi perundangan dalam menambah baik tadbir urus melalui penggubalan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, dan kemas kini kepada Akta Pemegang Amanah.

"Malaysia yakin dengan kepercayaan badan antarabangsa seperti IACA akan memacu Malaysia menjadi negara yang bebas rasuah, dengan sasaran di kedudukan 25 negara teratas di bawah Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International dalam tempoh 10 tahun akan datang akan menjadi kenyataan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki turut dilantik semula sebagai anggota Board of Governors (BoG) IACA bagi sesi 2024-2027. 

Menurut kenyataan itu, peranan Azam di dalam BoG akan memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam menetapkan hala tuju IACA dan memastikan agenda pencegahan rasuah yang lebih berkesan dapat dicapai. 

"Secara tidak langsung, pelantikan ini turut membantu memperkukuh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai pusat latihan pencegahan rasuah yang berwibawa di rantau Asia Pasifik," menurut kenyataan itu.

Sejak IACA ditubuhkan pada 2011 di Austria, ia berperanan sebagai pusat kecemerlangan dan penyelidikan antarabangsa bagi pembanterasan rasuah dan menjadi pusat latihan utama bagi kumpulan profesional terutama kalangan agensi pencegahan rasuah. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan