AM > BERITA

HPPNS Negeri Sabah 2024 Sasarkan Lebih 10,000 Pengunjung

30/10/2024 10:00 PM

KOTA KINABALU, 30 Okt (Bernama) -- Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNS) Negeri Sabah 2024 akan diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata program anjuran kerajaan Sabah itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini dijadual dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada hari pertama penganjuran.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu berkata sambutan HPPNS Negeri Sabah 2024 bertemakan “Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan” itu adalah bagi menghargai sumbangan golongan petani, penternak dan nelayan tempatan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Objektif penganjuran HPPNS ini juga adalah untuk memberi pendedahan dan maklumat kepada masyarakat mengenai perkembangan terkini sektor perladangan dan industri pertanian selain untuk mempromosikan hasil keluaran para usahawan.

“Program ini juga memberi peluang kepada para pengusaha sektor pertanian untuk mempromosi hasil mereka kepada pelabur untuk melabur dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan tempatan kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Maria David Edick berkata sebanyak 165 reruai pameran daripada jabatan, agensi dan para usahawan terlibat akan memeriahkan program itu.

“Oleh itu, orang ramai dijemput hadir bagi merasai sendiri pelbagai aktviti menarik yang akan diadakan seperti pameran dan jualan produk, cabutan bertuah, pertandingan nyanyian serta pameran ternakan hidup,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan