AM > BERITA

Permaisuri Agong Gayakan Kain Benang Johor Semasa Lawatan Negara Ke Brunei

31/10/2024 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menggayakan baju kurung Kain Benang Johor semasa Lawatan Negara ke Brunei baru-baru ini.

Menurut catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Kain Benang Johor adalah kain berkotak atau beragi dengan kedudukan motif terletak di antara kotak serta kepala kain berjalur, yang merupakan identiti bagi kain negeri Johor. 

Kain tenun itu menggunakan motif tiara Permaisuri Johor dalam Songket Johor Maharani yang direka khas untuk kegunaan Seri Paduka Baginda, manakala pemilihan warna biru merupakan satu daripada warna pada bendera Malaysia.

Menurut catatan itu, rekaan Songket Johor Maharani merupakan satu daripada sepuluh rekaan yang telah dipatenkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Penghasilan sehelai Kain Benang Johor adalah suatu proses yang amat rumit, melibatkan beberapa langkah, iaitu mencelup benang, menerai benang, menggulung, menyampak, mengarat, menganing dan menenun bagi mendapatkan hasil tenunan yang terbaik.

“Proses penghasilan Kain Benang Johor dilakukan sepenuhnya di Galeri Tenun yang terletak di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru,” menurut catatan itu.

Galeri yang dirasmikan pada 18 Nov 2018 itu meneruskan seni tenunan Rumah Tenun Johor di Jalan Mahmoodiah, yang diilhamkan penubuhannya pada 1946 oleh Almarhumah Tunku Ampuan Mariam, adinda kepada Almarhum Sultan Sir Ibrahim.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari ke Brunei bermula 13 hingga 15 Okt lepas.

Ia merupakan lawatan pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei selepas menaiki takhta pada 31 Jan lepas bagi memenuhi persilaan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan