AM > BERITA

Inisiatif Kerajaan Beri Manfaat Kepada Semua Termasuk Komuniti India - Gobind

31/10/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Pelbagai inisiatif dan peruntukan yang disediakan kerajaan telah memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia termasuk komuniti India, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata ini dibuktikan menerusi Belanjawan 2025 yang turut memperuntukkan RM130 juta bagi melaksanakan pelbagai program termasuk pembiayaan perniagaan masyarakat India, bertujuan membangunkan modal insan, sosial dan kebajikan komuniti tersebut.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menekankan usaha menyelaras keperluan di perkampungan kaum India. Begitu juga peruntukan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk semua kaum, manakala Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kini diperluaskan kepada masyarakat India,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di sini hari ini.

Majlis sambutan yang dianjurkan Kementerian Digital itu dihadiri Anwar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri Kabinet dan dan timbalan menteri.

Beliau berkata pada awal bulan ini, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) meluluskan lebih RM95 juta bagi melaksanakan 11 program pembangunan sosioekonomi termasuk Program Latihan dan Penempatan Sijil Profesional Keselamatan Siber EC-Council yang bernilai RM3.4 juta.

Gobind berkata peruntukan itu termasuk Program Bantuan Awal Kemasukan Institusi Pengajian Tingggi MITRA sebanyak RM25 juta, dengan kesemua inisiatif berkenaan akan membantu memperkasa komuniti India.

 Dalam pada itu beliau berkata kemajuan sosioekonomi rakyat harus bergerak seiring dengan pembangunan negara, termasuk dalam aspek digital, seperti kecederasan buatan (AI), semikonduktor dan animasi.

“Dunia digital mampu memberi sinar harapan baharu kepada kita semua. Kementerian Digital komited dalam usaha untuk memperkasakan tiga teras utama - infrastruktur, daya tahan digital serta bakat.

“Pada masa yang sama, data merupakan aset penting yang perlu dipelihara. Langkah-langkah proaktif telah pun diambil untuk memastikan data kepunyaan rakyat serta perniagaan di Malaysia terjamin,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan