AM > BERITA

Sarawak Akan Laksana Inisiatif CCUS Selepas RUU Perdagangan Karbon Diluluskan

31/10/2024 04:08 PM

KUCHING, 31 Okt (Bernama) -- Sarawak akan melaksanakan inisiatif pengangkutan rentas sempadan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) selepas Rang Undang-Undang (RUU) perdagangan karbon diluluskan di Dewan Rakyat.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata RUU berkenaan yang bakal dibentangkan pada Disember ini antara lainnya memperuntukkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan bagi pengangkutan rentas sempadan CCUS di Sarawak.

Beliau berkata kuasa mengurus serta mengawal selia CCUS pula terletak di bawah kuasa negeri, sekali gus menjadi antara usaha menyelaraskan undang-undang di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Apa yang perlu ialah diharmonikan undang-undang persekutuan baharu, yang melihat kepentingan di peringkat pusat… bermakna kalau karbon datang ke Sarawak, ada pihak yang perlu mengangkutnya, yang mana perlu diteliti oleh Kerajaan Persekutuan berdasarkan konvensyen antarabangsa,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka perayaan Deepavali anjuran Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, hari ini.

Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengadakan pertemuan dengan Abang Johari serta menteri kabinet negeri bagi membincangkan RUU berhubung perdagangan karbon.

Premier Sarawak turut dilaporkan berkata kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pengangkutan rentas sempadan bagi CCUS selain mengurus dengan pendekatan sendiri dalam bidang kuasanya.

Menurutnya, penyimpanan karbon luar pesisir Sarawak akan diuruskan oleh syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengurus sumber.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan