AM > BERITA

MPS Periksa 37 Premis Makanan Sejak Julai

31/10/2024 06:13 PM

SIBU, 31 Okt (Bernama) -- Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap 37 premis makanan sejak Julai hingga bulan ini sebagai usaha memastikan pengusaha mematuhi keperluan kesihatan, keselamatan makanan dan kebersihan.

MPS dalam kenyataan memaklumkan semua premis terdiri daripada 12 restoran, sembilan kedai makanan segera dan 16 kedai kopi manakala hasil pemeriksaan merampas pelbagai perkakas dan peralatan yang telah usang seperti papan pemotong, cawan, mangkuk, pinggan serta penyedut minuman plastik.

“Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengendali yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.

“Kami (MPS) sangat mengambil berat terhadap kebersihan di premis makanan. Pengendali juga dikehendaki mengamalkan kebersihan diri yang baik dan mengekalkan standard kebersihan makanan demi kebaikan pengguna,” menurut MPS dalam kenyataan hari ini.

MPS memaklumkan pemilik premis diingatkan supaya tidak membuang sisa makanan, sampah sarap dan minyak masak terpakai ke dalam longkang bagi mengelak bau busuk dan longkang tersumbat serta memastikan tandas sentiasa berfungsi, bersih dan kering sepanjang masa.

“MPS melarang keras penggunaan penyedut minuman plastik dan polistirena untuk membungkus makanan di kedai makan dan minuman berlesen.

“Ketika ini, terdapat lebih 1,000 premis makanan mempunyai lesen perniagaan yang sah di kawasan MPS,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan