AM > BERITA

Pengusaha Perigi Terapi Dinasihatkan Henti Sementara Operasi - Pegawai Daerah Rembau

01/11/2024 06:22 PM

REMBAU, 1 Nov (Bernama) -- Pejabat Tanah dan Daerah Rembau menasihati pengusaha perigi terapi ion di Ulu Sepri di sini yang mendakwa mampu menyembuhkan beberapa penyakit, agar menghentikan sementara operasi sehingga siasatan Kementerian Kesihatan (KKM) selesai dijalankan.

Pegawai Daerah Rembau Mohd Zamri Mohd Esa berkata pihaknya bersama Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan turut ke lokasi berkenaan Selasa lepas untuk menjalankan siasatan terperinci.

“Susulan itu, BKSA negeri mengeluarkan surat arahan kepada pengusaha untuk membuat permohonan lesen di bawah Akta Air 1920 (Akta 418) dibaca bersama Enakmen Air (Pindaan Akta Air 1920) 2007 kerana pengusaha menggunakan air sungai yang diabstrak tanpa lesen. 

“Pengusaha diberi tempoh 14 hari untuk membuat permohonan terbabit di BKSA Negeri Sembilan. Kami juga akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata lokasi berkenaan kini menjadi tumpuan pengunjung dengan beberapa khemah didirikan pengusaha dan siasatan mendapati lokasi itu merupakan tanah adat dan syarat nyata ialah tanah pertanian.

Baru-baru ini, tular melalui media sosial mendakwa penggunaan air perigi di sebuah lokasi di Rembau mampu memberi manfaat kesihatan kepada individu yang menghidap pelbagai penyakit termasuk strok menerusi teknologi rawatan khas.

KKM menerusi aplikasi X kemudian memaklumkan akan mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata beliau mengalu-alukan mana-mana pihak untuk mengusahakan sebarang aktiviti pelancongan di daerah ini, namun ia perlu mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi perigi yang dipercayai menjadi tumpuan sejak tiga bulan lepas itu mendapati orang ramai masih memenuhi kawasan berkenaan setakat 4 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan