BANGI, 4 Nov (Bernama) -- Pengamal media perlu memastikan berita dilaporkan kepada masyarakat adalah sahih dan berkualiti dalam mendepani era berita palsu dan disinformasi (maklumat palsu) yang semakin berleluasa pada masa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata etika kewartawanan perlu menjadi tunjang utama bagi setiap pengamal media dan menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan integriti dalam penyampaian berita.
“Media merupakan platform amat berpengaruh. Oleh itu, penting untuk kita menjaga kepercayaan yang diberi dengan melaporkan kebenaran tanpa dipengaruhi oleh tekanan atau kecenderungan.
“Adalah amat penting bagi wartawan untuk menjaga kredibiliti demi meraih kepercayaan pembaca atau penonton. Inilah menjadi pegangan kami di Bernama,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Disinformasi merujuk kepada penyebaran maklumat palsu dengan niat sengaja untuk menipu.
Februari lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang mengandungi lapan teras utama meliputi wartawan perlu bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, telus dan berintegriti serta adil dalam penyampaian informasi.
Etika lain termasuk pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan maklumat; hormati kerahsiaan sumber; memahami undang-undang, akta dan polisi berkaitan ruang lingkup tugasan media; serta meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor, Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj dan Dekan FSSK UKM Prof Dr Kadaruddin Aiyub.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain, dan Ketua Penyiaran TV dan Radio Bernama Mohd Shukri Ishak.
Menjelaskan lebih lanjut, Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 berkata pengamal media perlu mengambil langkah menyesuaikan diri seiring perkembangan teknologi semasa dengan menguasai pelbagai kemahiran baharu seperti pemasaran digital, pengurusan data, analisis media termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau turut menasihati pelajar yang berminat untuk menyertai bidang komunikasi dan media supaya mempersiapkan diri dengan memanfaatkan teknologi sedia ada untuk mendalami kemahiran literasi media.
“Literasi media memerlukan keupayaan berfikir secara kritikal dan menapis informasi untuk membezakan antara fakta, pendapat serta berita tidak tepat. Ambillah peluang untuk meneroka pelbagai cabang media. Teruskan belajar, berinovasi dan jangan takut mencuba,” katanya.
Pada program berkenaan, Kementerian Komunikasi menerusi Bernama selaku Sekretariat HAWANA turut menyampaikan sumbangan set komputer berkeupayaan tinggi dan televisyen pintar bersaiz 65 inci kepada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di tujuh universiti awam di Zon Tengah bersempena dengan sambutan HAWANA tahun ini.
Universiti yang menerima sumbangan set komputer dan televisyen bernilai RM20,000 hari ini ialah UKM, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Selain itu, Bernama turut menganjurkan tiga sesi pembentangan dan perkongsian ilmu merangkumi topik semasa berkaitan bidang kewartawanan dan kesedaran keselamatan media dalam talian meliputi topik Mobile Journalism, Fact Check (Semakan Fakta) dan Klik Dengan Bijak.
Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa Zon Tengah di UKM hari ini merupakan penganjuran kali ketiga selepas Sarawak pada 25 Mei dan Sabah (25 Okt), serta akan diteruskan di Melaka (Zon Selatan), Terengganu (Zon Pantai Timur) dan Pulau Pinang (Zon Utara).
HAWANA 2024 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial