AM > BERITA

Kärcher Malaysia Rai Ulang Tahun Ke-10 TYCD

04/11/2024 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kärcher Malaysia baru-baru ini memeraikan sambutan ulang tahun ke-10 Hari Penghargaan Pekerja Pembersihan (TYCD-Thank Your Cleaner Day), sebagai penghargaan terhadap dedikasi tanpa henti pekerja pembersihan profesional yang bekerja di sebalik tabir bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, selamat, dan sihat.

Dengan kerjasama Edisijuta Services Sdn Bhd, Kärcher Malaysia menganjurkan acara sambutan yang bermakna itu di Pavilion di sini, untuk memberi penghargaan kepada dedikasi pekerja pembersihan sambil mengiktiraf profesionalisme dalam bidang pembersihan.

“Pencapaian ini menandakan satu dekad pengiktirafan global untuk pekerja pembersihan profesional yang terus memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita. Sama ada di tapak pengeluaran, pejabat atau sekolah, wira yang tidak didendang ini biasanya beroperasi di luar waktu kerja biasa untuk mengekalkan piawaian kebersihan yang ketat.

“Acara itu turut menampilkan Anugerah Pembersihan 2024 yang berprestij, sebagai penghargaan kepada pekerja pembersihan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memberikan perkhidmatan berkualiti dan menepati amalan terbaik industri,” menurut Kärcher Malaysia dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan pemenang anugerah berkenaan dipilih berdasarkan cadangan pasukan pengurusan Edisijuta, yang memantau dengan teliti prestasi dan dedikasi pekerja pembersihan terhadap pekerjaan mereka.

“Tahun ini, kami berbesar hati untuk menganugerahkan lebih daripada empat pekerja pembersihan atas sumbangan cemerlang mereka,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa inisiatif TYCD telah dilancarkan di New Zealand pada 2015, dan Malaysia menyertai inisiatif global berkenaan pada 2017.

Sejak itu, syarikat berkenaan telah menganjurkan enam acara utama, bekerjasama dengan beberapa organisasi seperti Zoo Negara, Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur, dan Mydin Mohamed Holdings Berhad.

Sementara itu Pengarah Urusan Kärcher Malaysia William Kiew berkata usaha pekerja pembersihan sering kali tidak diiktiraf, dan TYCD diperkenalkan untuk memberi peluang mengucapkan terima kasih atas semua dedikasi mereka dalam mengekalkan ruang Karcher sentiasa bersih, selamat dan mesra.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama antara Kärcher dan Edisijuta telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan standard industri melalui pelbagai inisiatif yang bertujuan membangunkan penyelesaian pembersihan inovatif yang meningkatkan kecekapan dan kelestarian.

“Komitmen kami terhadap amalan terbaik termasuk melaksanakan teknologi yang lestari dan mempromosikan teknik pembersihan yang betul dalam kalangan pelanggan kami. Usaha ini menyumbang kepada peningkatan imej profesional industri pembersihan dan memperkasakan pekerja pembersihan untuk mencapai potensi tertinggi mereka,” katanya.

Beliau berkata bahawa dengan lebih 16,000 pekerja di 82 negara, Kärcher sangat komited terhadap kelestarian, penyelidikan dan pembangunan penyelesaian pembersihan terkini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan