AM > BERITA

UTP Rai 1,367 Graduan Pada Majlis Konvokesyen Ke-24

04/11/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) menganjurkan Majlis Konvokesyen ke-24 baru-baru ini dengan 1,367 graduan menerima ijazah masing-masing.

Majlis konvokesyen selama dua hari yang bermula pada 27 Okt itu adalah bagi meraikan 1,028 graduan ijazah sarjana muda, 242 Ijazah Sarjana Sains dan 97 Ijazah Doktor Falsafah (PhD), yang kesemuanya kini menyertai rangkaian alumni UTP dengan lebih 25,000 profesional di seluruh dunia.

UTP dalam kenyataan hari ini berkata selama hampir tiga dekad, universiti itu memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda pendidikan Petronas, melahirkan profesional berkemahiran yang sangat diperlukan untuk kemajuan Malaysia.

“Komitmen universiti terhadap inovasi, kreativiti dan pendidikan holistik melengkapkan graduan untuk menjadi pemimpin industri dan membentuk masa depan,” menurut kenyataan itu.

Konvokesyen tahun ini menyaksikan Anugerah Emas Canselor menjadi milik graduan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Muhammad Nur Aiman Haja Maidin, manakala graduan Pengurusan Perniagaan Raja Nur Shazatul Aisyah Raja Idris Shah dan graduan Kejuruteraan Komputer Ong Wei Ling masing-masing menerima Anugerah Perak Canselor dan Anugerah Gangsa Canselor.

“Bagi pengajian pascasiswazah, graduan Kejuruteraan Kimia M. Devendran Manogaran menerima Anugerah Penyelidikan Pascasiswazah Terbaik bagi PhD manakala Mochammad Faqih, juga graduan Kejuruteraan Kimia menerima anugerah berkenaan untuk kategori Sarjana.

“Anugerah Mahasiswa Terbaik bagi Program Sarjana Melalui Kerja Kursus pula disampaikan kepada Stacy Primus Liew,” katanya dan menambah kesemua ijazah disampaikan Canselor UTP Tan Sri Dr Mohd Hassan Marican dan Pro Canselor Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Pro Canselor UTP Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi Lembaga Pengarah UTP Farehana Hanapiah dan Ahli Lembaga Pengarah UTP turut hadir pada majlis itu.

UTP memaklumkan beberapa acara turut dilangsungkan bersempena majlis konvokesyen ke-24, termasuk sambutan penyiapan Jejak Warisan Hijau dalam kampus universiti itu oleh Yayasan Petronas dengan kerjasama UTP.

“Inisiatif yang dilaksanakan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ini melibatkan kajian asas yang menyeluruh serta pembangunan terperinci laluan sepanjang 950 meter yang terletak di antara beberapa hutan paya air tawar yang masih kekal di daerah Perak Tengah.

“Laluan ini melibatkan jalan pejalan kaki yang mesra alam dan papan maklumat yang memaparkan kepelbagaian biodiversiti kawasan itu, termasuk lebih daripada 300 spesies flora, fauna dan serangga. Projek ini menekankan kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan bertujuan memupuk kesedaran, pengetahuan serta komitmen dalam kalangan mahasiswa, kakitangan UTP dan masyarakat umum,” menurut kenyataan itu.

Selain itu UTP dan Penyelesaian Teknikal Kumpulan Petronas (GTS) telah bersama-sama melancarkan rangkaian kampus 5G swasta pertama di Malaysia, satu pencapaian penting dalam integrasi teknologi canggih dalam aplikasi industri.

“Infrastruktur canggih ini akan memudahkan projek dalam operasi jarak jauh, kawalan, automasi dan robotik. Antena 5G persendirian yang dipasang di UTP akan mempercepat transformasi digital dan membolehkan sambungan yang lebih pantas serta selamat untuk perniagaan dan industri.

“Makmal Inovasi 5G Petronas-UTP (PER5ONA) akan menjadi platform ujian langsung untuk aplikasi 5G dalam sektor minyak dan gas, memacu inovasi dan mempercepatkan kemajuan teknologi,” menurut kenyataan itu.

Sempena majlis konvokesyen itu juga, sebuah obor peringatan sempena sambutan ulang tahun ke-50 Petronas telah disampaikan kepada Mohd Hassan sebagai tanda ketibaan obor berkenaan ke destinasi terakhirnya di UTP.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan