AM > BERITA

Struktur Semula CAAM, Beri Peranan Kepada Sabah Dan Sarawak

04/11/2024 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan disaran menstruktur semula Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dengan memberi peranan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak dalam agensi itu, bagi menangani isu pengurangan penerbangan dan harga tiket tinggi.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata penstrukturan semula ini meliputi cadangan pewujudan tiga sub regional authority, meliputi Sabah, Sarawak dan Semenanjung .

“Saya difahamkan keadaan ini sama dengan General Civil Aviation Authority (GCAA) of UAE dengan SubRegional Authority untuk Dubai, Abu Dhabi dan Sharjah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini. 

Ahli Parlimen Keningau itu berkata harga tiket yang tinggi hingga mencecah RM1,000 sehala telah mengurangkan jumlah pelancong ke Sabah dan Sarawak, sekali gus menjejaskan ekonomi setempat.

Sehubungan itu beliau berharap Kerajaan Persekutuan dan menteri berkenaan mengambil tindakan untuk menangani isu pengurangan penerbangan dan harga tiket penerbangan yang mahal.

Sementara itu, Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menambah peruntukan pembangunan Sabah kepada RM6.7 bilion menerusi pembentangan Belanjawan 2025.

Beliau berkata perkara itu bukti Kerajaan Persekutuan berusaha memenuhi hak Sabah sepertimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus membolehkan negeri itu meneruskan projek pembangunan pada tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tahun depan.

Matbali berkata dengan kedudukan geografi Sabah yang mencabar, peruntukan itu sudah tentu tidak mencukupi namun memadai bagi mengimbangi jurang dan ketidakseimbangan yang berlaku setiap tahun. 

Belanjawan 2025 juga, katanya, adalah mesej jelas kesungguhan kepimpinan di Putrajaya untuk terus berusaha merapatkan jurang pembangunan melalui penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan elektrik. 

--  BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan