IPOH, 5 Nov (Bernama) -- Sebanyak 10 orang Pegawai Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ditauliahkan Pemakaian Sayap Penerbangan, bagi melayakkan mereka menjadi juruterbang helikopter dan pegawai sistem udara.
Maritim Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pentauliahan itu, diadakan bersempena Majlis Pemakaian Sayap Penerbangan dan Tamat Latihan Juruterbang Helikopter Siri 1/2023 dan Pegawai Sistem Udara Siri 1/2024 di Layang Layang Flying Academy di sini, semalam.
Menurut kenyataan itu majlis turut dihadiri Pengarah Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia Laksamana Pertama Maritim Syed Islam Shahajam, Timbalan Komandan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia ACP Mohd Hafizul Mohd Salleh, Pengurus Besar Kumpulan Layang Layang Flying Academy Sdn Bhd Kapten Shahdon Poong dan Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim mewakili Ketua Pengarah Maritim Malaysia menerusi kenyataan itu berkata pemakaian pangkat berkenaan, diberikan khusus kepada pegawai yang telah menjalani latihan selama 12 hingga 18 bulan bagi melayakkan mereka melaksanakan tugas penerbangan dalam agensi.
“Kemahiran yang dimiliki juruterbang dan pegawai sistem udara menerusi latihan yang diberikan, bukan sahaja menyumbang kepada ketangkasan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tugas operasi serta mencari dan menyelamat, malah mampu memberi jaminan terhadap keupayaan aset udara Maritim Malaysia menerusi sektor logistik Maritim,” katanya.
Saiful Lizan turut menjelaskan aset udara yang digunakan oleh Maritim Malaysia memerlukan kepakaran tinggi dalam pengendalian serta penyelenggaraan dan kumpulan pegawai itu dilatih secara khusus untuk tujuan berkenaan.
Beliau berkata dengan pertambahan juruterbang helikopter dan pegawai sistem udara yang bertauliah, Maritim Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih baik bagi memperhebat rondaan udara di kawasan perairan negara.
“Perkara ini secara langsung akan menyumbang kepada keberkesanan dalam pengawalan dan pencegahan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, pencerobohan pendatang tanpa izin dan kegiatan penangkapan hasil laut secara haram di Zon Maritim Malaysia,” katanya.
Saiful Lizan turut menekankan keperluan latihan berterusan dan pembaharuan kemahiran pegawai Maritim Malaysia bagi menghadapi cabaran semasa dalam bidang penguatkuasaan Maritim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial