AM > BERITA

Nilai Kemanusiaan Dalam Pembangunan Lestari Faktor Penting Cermin Aspirasi Malaysia MADANI - Nga

05/11/2024 06:56 PM

PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Nilai-nilai kemanusiaan dalam pembangunan lestari merupakan faktor penting yang perlu ditekankan bagi mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau yang kini berada di Kaherah, Mesir bagi menghadiri Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-12 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UN-Habitat) berkata, pembangunan sesebuah bandar terbaik juga perlu mengambil kira aspek budaya, kepelbagaian, kreativiti dan daya tahan.

“Melalui semangat Malaysia MADANI, kami berusaha memupuk masyarakat yang inklusif, progresif dan berdaya tahan...Visi ini melangkaui infrastruktur fizikal kerana kita mahu mewujudkan komuniti di mana setiap orang mempunyai rasa memiliki, semangat kekitaan, peluang yang sama untuk berkembang..,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan kini komited terhadap perancangan bandar yang tahan iklim, menyokong amalan pembinaan hijau dan meningkatkan dasar perumahan untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menikmati peluang memiliki kediaman sendiri.

Nga berkata melalui inisiatif seperti program Residensi Rakyat, kerajaan komited untuk menyediakan perumahan mampu milik dan berkualiti dalam memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai tempat untuk didiami tanpa mengira latar belakang atau tahap pendapatan.

Beliau yang turut merasmikan pavilion Malaysia pada WUF ke-12 itu berkata pavilion negara juga menonjolkan nilai-nilai kemanusiaan MADANI kepada pengunjung antarabangsa yang menghadiri forum berkenaan.

Nga yang mengetuai delegasi Malaysia ke forum itu berkata pavilion Malaysia bertemakan ‘It All Starts at Home’ menampilkan 21 rakan pameran termasuk kerajaan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta dan universiti terkemuka.

“Kita (Malaysia) berada di sini untuk berkongsi penyelesaian bandar Malaysia yang unik sebagai tindak balas kepada cabaran mendesak yang melibatkan perubahan iklim, penyediaan perumahan yang mencukupi, dan pembiayaan untuk pembangunan bandar yang mampan.

“Pada masa yang sama, kita berada di sini untuk belajar daripada negara dan bandar raya lain untuk memastikan tiada siapa dan tiada kawasan yang tertinggal di negara kita yang pesat membangun,” katanya.

WUF ke-12 yang diadakan selama lima hari bermula semalam itu dianggarkan menarik lebih daripada 28,000 peserta dari 84 negara dan menjadi platform penting untuk dialog global mengenai pembangunan bandar lestari.

Forum yang diadakan sejak 2001 itu dihadiri pemimpin negara, menteri serta datuk bandar dari seluruh dunia selain golongan pakar dan aktivis yang berkaitan dengan isu perbandaran, ekonomi dan perubahan iklim.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan