AM > BERITA

Misi Bantuan Ribut Tropika Kristine: 16 Pegawai, Anggota TUDM Selamat Pulang

05/11/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kesemua 16 pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron yang diatur gerak ke Filipina pada 26 Okt lepas bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan pada 2 Nov lepas.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan mereka diatur gerak bagi memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan Filipina dalam usaha membantu rakyat negara itu yang terjejas dengan banjir besar dan tanah runtuh akibat ribut tropika Kristine.

Menurut kenyataan itu, TUDM berjaya melaksanakan sembilan sortie  atau misi penerbangan sepanjang HADR bermula dari 27 Okt hingga 1 Nov lepas.

“Ia melibatkan penerbangan membawa sejumlah 17.5 tan bekalan bantuan termasuk bot dengan enjin (0.82 tan), kanvas tarpaulin (8.22 tan) dan bekalan makanan dalam kotak (8.4 tan).

“Kejayaan misi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Filipina yang terkesan bencana tetapi turut mengeratkan lagi hubungan serantau antara Malaysia dan Filipina dalam usaha bersama menangani kesan bencana alam selain menunjukkan komitmen TUDM dalam melaksanakan HADR,” menurut kenyataan itu.

TUDM memaklumkan sebelum pulang pasukan TUDM telah diraikan oleh Angkatan Udara Filipina (PAF) di Pangkalan Udara Villamor, Pasay City, Filipina sebagai penghormatan kerana telah memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan kepada mereka.

Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro Jr. turut menyatakan penghargaan terhadap bantuan segera Malaysia.

“Sokongan anda pada saat kritikal ini sangat berharga dalam usaha pemulihan kami selepas ribut tropika Kristine. Ini membuktikan hubungan erat antara negara kita yang terjalin di saat-saat diperlukan,” katanya menerusi kenyataan TUDM. 

Majlis penghargaan itu turut dihadiri pegawai tertinggi PAF Lt Jen Stephen Parreno, Mej Jen Aristotle Gonzalez dan Mej Jen Pablo Rustria Jr. serta Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Filipina Norjufri Nizar Edrus.

Menurut TUDM pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Villamor, Manila ke Pangkalan Udara Labuan pada 8 pagi, 2 Nov dan penerbangan mengambil masa enam jam termasuk persinggahan di Pangkalan Udara Antonio Bautista, Puerto Princesa bagi pengisian bahan api. 

“Pegawai dan anggota selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan pada 3 petang. Mereka telah disambut oleh pegawai dan anggota No 5 Skuadron serta ahli keluarga pegawai dan anggota yang terlibat dalam misi tersebut,” menurut kenyataan itu. 

Sebelum ini, Bernama melaporkan TUDM menggerakkan sebuah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan bagi HADR ke Filipina, susulan kejadian ribut tropika Kristine yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh pada 26 Okt lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan