AM > BERITA

NRES Salur Bantuan RM608,000 Kepada 107 Mangsa Konflik Hidupan Liar

06/11/2024 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyalurkan RM608,000 kepada 107 mangsa yang terlibat dalam konflik dengan hidupan liar, setakat Oktober tahun ini. 

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata bantuan berkenaan disalurkan menerusi inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) yang diperkenalkan sejak 29 Mac lepas. 

“BKHT ialah bantuan dalam bentuk kewangan yang diberikan sekali sahaja (one-off) kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat hidupan liar tertakluk kepada syarat ditetapkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang ingin tahu langkah untuk membayar pampasan atau ganti rugi kepada mangsa yang terkesan dengan serangan hidupan liar terutamanya gajah dan harimau terhadap manusia serta harta benda. 

Huang berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat turut membantu orang awam yang cedera atau ahli keluarga yang kehilangan nyawa disebabkan serangan hidupan liar melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas. 

Sementara itu, Huang menasihati orang ramai supaya tidak melakukan provokasi atau tindakan seperti cubaan menghalau atau mendekati hidupan liar, seperti harimau jika berdepan dengan situasi mencemaskan. 

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan situasi panik dan bergerak secara perlahan-lahan untuk menjauhkan diri daripada harimau itu, selain berlindung di dalam rumah atau di tempat selamat sementara menunggu pihak berkuasa. 

“Hubungi segera Perhilitan terdekat atau talian hotline 1800-88-515 selain talian kecemasan umum Polis Diraja Malaysia untuk melaporkan kejadian konflik hidupan liar untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan