AM > BERITA

Pulau Pinang Cari Jalan Penyelesaian Masalah Selut Di Pantai Esen

07/11/2024 06:43 PM

GEORGE TOWN, 7 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung pencemaran Pantai Esen di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas dekat sini dipercayai berpunca daripada tambakan laut bagi menjalankan projek pulau di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo berkata beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan perunding dan kontraktor projek itu bagi membincangkan perkara berkenaan berikutan masih terdapat selut dan air berkeladak di Pantai Esen.

"Saya bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan kontraktor serta perunding projek tambakan ini telah mengadakan pemantauan di Pantai Esen bagi melihat sitiuasi terkini selut yang terdapat di situ dan mendapati memang nampak selut.

"Kawasan itu tempat orang berkelah dan baunya ada, tapi tak lah kuat sangat, kerana selut itu bersama alga dan bila cuaca panas terik, ia akan kering serta mengeluarkan bau. Hari ini sekali lagi JAS ambil sampel untuk pastikan sama ada selut tu adalah dari dasar laut atau pun daripada pasir yang diguna untuk ditambak (dari projek pulau di situ).

"Tapi pengalaman saya sebagai seorang pemaju dan kontraktor selama 40 tahun, saya nampak ia seperti dari projek tambak laut kerana asalnya pantai itu terbuka serta ombak membawa air ke tepi pantai serta mencuci sekali pantai sebelum membawa ia kembali ke laut, namun sekarang kita dah tambak tanah untuk buat pulau di situ, tapi tak apa, setiap masalah kita cuba cari jalan penyelesaiannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.  

Sundarajoo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang ditemui selepas  merasmikan Pengumuman Laporan Pencapaian Pelajar Dalam Latih Tubi SMC Northern Region 2024 di 22 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pulau Pinang di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan keadaan Pantai Esen yang dipenuhi lumpur dan berbau dengan air pantainya berwarna kehitaman, dipercayai ada kaitan dengan projek penambakan yang terletak tidak jauh dari kawasan pantai berkenaan.

Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata beliau akan memberi taklimat berhubung situasai berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow selepas mereka yang mengadakan lawatan kerja ke luar negara kembali.

Sundarajoo berkata tindakan segera perlu diambil kerana terdapat golongan yang bergantung kepada laut sebagai sumber pendapatan, jadi pencemaran itu memberi kesan kepada mereka.

"Hari ini saya telah kongsikan fikiran dan pendapat dengan perunding dan juga kontraktor projek itu, jadi beri kami sedikit masa untuk berbincang serta mengadakan pertemuan dengan Zairil dan Ketua Menteri untuk berkongsi pendapat serta cara untuk perbaiki masalah itu.

"Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kami mempunyai kewajipan untuk menangani dan menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin, kita akan pastikan alam semula jadi tidak tercemar, jadi sistem semula jadi itu akan dibetulkan secara teknologi kejuruteraan melalui beberapa cara yang boleh dilakukan, antaranya kita kena pastikan air laut dapat mengalir semula ke laut," katanya.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja membersihkan selut itu dijalankan secara manual, namun ia tidak dapat me­­ngen­yahkan sepenuhnya pencemaran serta bau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan