AM > BERITA

NRES Pertimbang Tiada Lagi Pemberian Plastik Sekali Guna Seawal 2026

07/11/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mempertimbangkan agar tiada lagi pemberian beg plastik sekali guna di seluruh negara seawal 2026. 

NRES dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan, pelaksanaan dasar itu telah dilaksanakan di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah malah di Wilayah Persekutuan secara dasarnya juga tidak lagi memberikan beg plastik sekali guna (konvensional) dan menggalakkan penggunaan beg plastik biodegradasi.

“Kementerian sedang meneliti semua pelaksanaan prinsip pengguna bayar dengan menetapkan hala tuju baharu.

“Kementerian telah menerima maklum balas positif daripada sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing yang telah dijalankan di sembilan buah negeri dan libat urus seterusnya akan dijalankan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah,” menurut kementerian itu.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik 2018-2030 dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik 2021-2030.

Menurut jawapan itu, kementerian komited dan yakin kempen serta sesi libat urus berterusan membabitkan semua pihak amat penting dalam memastikan kejayaan pelestarian plastik.

Susulan itu, kementerian akan terus dan kekal bekerjasama dengan semua pihak terutamanya pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkat kesedaran masyarakat.

Pada masa sama, kerajaan terus berusaha menambah baik pengurusan plastik secara lestari termasuk menangani pencemaran sisa plastik di ekosistem marin. 

Mengenai langkah kementerian bagi menangani dakwaan setiap penduduk Malaysia menelan purata 502.3 miligram mikroplastik sehari, NRES memaklumkan kajian tersebut mengaitkan dengan tabiat pemakanan ikan dan makanan laut.

“Dalam hal ini, berkemungkinan perkara ini terjadi akibat daripada pencemaran sisa plastik yang ‘terlepas’ atau ‘tidak dapat dikutip’ atau ‘terbuang’ sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ke dalam persekitaran yang akhirnya mengalir ke sungai, saliran dan seterusnya ke lautan. Perkara ini juga dikaitkan dengan sampah laut atau sisa laut.

“Kementerian telah mengambil pelbagai langkah dalam menangani isu sampah laut dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dengan berpandukan Dasar dan Pelan Tindakan Sisa Marin Kebangsaan 2021-2030, Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 (MPSR) dan Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 (Pelan SUP),” menurut jawapan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan