AM > BERITA

Anggaran Peruntukan Penubuhan Majlis Media Malaysia Diperinci Masa Terdekat - Fahmi

07/11/2024 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan memperincikan anggaran peruntukan bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) menerusi satu memorandum Jemaah Menteri dalam masa terdekat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dana permulaan akan diguna pakai untuk pengoperasian awal MMC sebelum ia boleh beroperasi dengan dana sendiri. 

“Bagi tujuan ini jawatankuasa Pro-tem telah menyediakan pelan kewangan jangka masa panjang dengan menyasarkan sumber kewangan daripada sumber-sumber lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi.

Penubuhan MMC adalah bagi membangun dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab.

Sebelum ini Fahmi berkata Rang Undang-Undang MMC dijangka dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media dan menjamin hak kebebasan bersuara rakyat berdasarkan Fasal 1(a) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan proses semak dan imbang lancar serta berkesan.

Bagaimanapun, katanya kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak serta perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab dan beretika, mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang mencorakkan masyarakat Malaysia. 

“Keterbukaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Kerajaan Perpaduan dan memberi lampu hijau kepada ahli Parlimen, ahli politik malah mahasiswa universiti mengkritik kerajaan dilihat menyuburkan lagi konsep kebebasan bersuara.

“Bagaimanapun kritikan yang diberikan harus bersifat membina, disertakan dengan data dan fakta bagi memenuhi semangat mencari serta menegakkan kebenaran dan tidak bersifat menghina, menghasut, provokasi, mencemarkan nama baik, mencerca agama dan kepercayaan serta menyebarkan fitnah,” katanya.

Menjawab celahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berhubung tindakan sesetengah syarikat media yang tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan gaji pekerja mereka, Fahmi berkata perkara itu berada dalam senarai keutamaannya untuk diteliti. 

“Realitinya untuk memastikan kebebasan bersuara dan kebebasan media, kita mahu kebebasan media tetapi media tidak percuma, saya memberi teguran keras kepada semua pemilik syarikat (iaitu) tidak ada konsep mencari perlindungan (politik),” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata sempena Deepavali lepas, beliau telah meminta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk menyantuni beberapa pengamal media beragama Hindu untuk diberikan sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA. 

Sementara itu, Fahmi berkata antara skop program yang dicadangkan menerusi program Belia Kreatif MADANI ialah Program Pembangunan Modal Insan dengan jangkaan 6,000 tenaga belia mahir meraih manfaat daripada 120 program yang bakal diadakan, selain penganjuran siri liga universiti atau pertandingan filem pendek antara komuniti belia di universiti atau kolej pengajian awam dan swasta.

Turut dicadangkan program pembangunan nilai apresiasi filem yang dapat melahirkan 1,800 belia berpengetahuan dalam bidang industri kreatif yang mempunyai jati diri dan semangat mencintai filem tempatan, serta pembangunan Komuniti Filem (Kelab Filem) yang berfungsi sebagai wadah masyarakat setempat khususnya golongan belia untuk berkumpul, bersosial dan berwacana berkaitan filem.

Berhubung gesaan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) supaya tapisan ke atas lirik lagu diperketatkan, Fahmi berkata lagu-lagu yang dimainkan di stesen radio iaitu pemegang lesen perkhidmatan aplikasi kandungan (CASP-I) terikat di bawah Kod Kandungan yang diseliakan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF).

“Walau bagaimanapun, lagu-lagu yang dimainkan di platform digital seperti Spotify, Joox dan lain-lain platform tidak tertakluk kepada Kod Kandungan kerana mereka bukan pemegang lesen CASP-I.

“Kuasa Biro Aduan dan CMCF juga adalah terhad kepada pemegang lesen CASP-I, memandangkan Kod Kandungan ini merupakan sebuah kod sukarela industri dan pematuhan adalah secara sukarela bagi entiti yang bukan pemegang lesen,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan