AM > BERITA

Masjid Seliaan JAKIM Disaran Buat Solat Hajat Doakan Kejayaan Misi PM Di Riyadh

08/11/2024 08:20 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Masjid-masjid utama di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) disaran melaksanakan solat hajat bagi mendoakan kejayaan misi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mewakili Malaysia dalam Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im dalam kenyataan hari ini berkata saranan itu terutama kepada Masjid Negara, Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, diminta untuk melaksanakan solat hajat itu selepas solat Isyak bermula hari ini sehingga Isnin depan.

Beliau berkata semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan turut dimohon melaksanakan solat hajat untuk tempoh waktu yang sama.

"JPM (Hal Ehwal Agama) ingin menyatakan sokongan padu kepada Perdana Menteri atas ketegasan untuk membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam.

"Pelaksanaan solat hajat ini adalah untuk memohon doa dan perlindungan daripada Allah agar perjalanan dan misi Perdana Menteri mendapat keberkatan serta mencapai kejayaan demi manfaat negara dan ummah," katanya.

Mohd Na'im berkata pelaksanaan solat hajat itu diharap dapat meningkatkan solidariti umat Islam di seluruh negara serta menyatukan hati rakyat Malaysia dalam mendoakan misi penting ini. 

Beliau berkata Perdana Menteri akan menyampaikan suara dan harapan negara di pentas antarabangsa dalam sidang kemuncak ini yang dijangka turut membincangkan isu-isu kritikal melibatkan negara-negara Islam.

"JPM (Hal Ehwal Agama) mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama menyertai solat hajat ini sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada pemimpin kita serta turut mendoakan kesejahteraan para anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang sedang bertugas di Lubnan. 

"Semoga usaha kita diberkati Allah dan Malaysia terus kekal aman serta sejahtera di bawah lindunganNya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan