KANGAR, 10 Nov (Bernama) -- Program latih amal dan simulasi pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) memberikan pendedahan awal mengenai operasi penempatan mangsa bencana kepada bakal guru yang ditempatkan di sekolah-sekolah kelak.
Timbalan Pengarah IPG Kampus Perlis Mohd Fadzil Mohd Salleh berkata sebagai bakal guru mereka perlu bersedia menggalas tanggungjawab membantu masyarakat ketika bencana, memandangkan kebanyakan PPS beroperasi di sekolah berikutan kemudahan yang tersedia.
"IPG Kampus Perlis bukan hanya melahirkan guru cemerlang di dalam bilik darjah malah guru yang serba boleh serta mampu berkhidmat untuk komuniti luar. Mereka diharap menjadi ejen perubahan kepada masyarakat, bukan sekadar di sempadan sekolah,” katanya kepada Bernama.
Program latih amal dan simulasi yang julung kali dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis dengan kerjasama IPG Kampus Perlis itu berlangsung semalam membabitkan penyertaan 160 pelajar IPG itu.
Sementara itu, Pengarah JKM Perlis Ku Chik Ku Mat Esa berkata program itu antara lain merangkumi taklimat dan simulasi pengurusan PPS selain taklimat mengenai dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara serta perkongsian pengalaman sukarelawan dari Perlis Volunteer Action Community (PVAC).
“Program ini kali pertama dilakukan dengan IPG Kampus Perlis dan kita bersyukur mendapat kerjasama yang baik. Kita jelaskan peranan serta tanggungjawab setiap agensi dalam pusat bencana melibatkan pelbagai pihak.
“Dengan pendedahan ini diharapkan pelajar IPG Kampus Perlis ini telah bersiap sedia dengan operasi PPS khususnya ketika mereka bertugas di sekolah nanti,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial