AM > BERITA

Lipis Pula Banjir, Lapan PPS Dibuka Di Pahang

11/11/2024 09:54 AM

KUANTAN, 11 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat susulan Lipis menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu, menurut Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 9 pagi ini.

Laporan itu memaklumkan sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lipis yang menempatkan 218 mangsa daripada 61 keluarga iaitu Sekolah Kebangsaan Kechaui Tui (133 orang daripada 34 keluarga) dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui (85 orang daripada 27 keluarga)

Raub yang mula dilanda banjir awal pagi semalam, mencatatkan pertambahan bilangan mangsa kepada 223 orang daripada 66 keluarga yang berlindung di enam PPS berbanding 99 orang daripada 25 keluarga di dua PPS semalam.

 Enam PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan Kemas Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu. 

“Jumlah keseluruhan banjir di negeri ini melibatkan Lipis dan Raub setakat pukul 9 pagi adalah sebanyak 441 mangsa daripada 127 keluarga dengan pembukaan lapan PPS,” menurut laporan itu. 

Sementara itu, menerusi laman sesawang infobanjir.water.gov.my, enam sungai di Pahang mencecah tahap waspada iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Sungai Jelai Kuala Medang, Sungai Jelai Jeti Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini (Pekan).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan