AM > BERITA

KPKM Pertimbang Cadangan Penetapan Harga Lantai Belian Padi RM1,500 Per Tan Metrik

11/11/2024 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membincangkan cadangan menetapkan harga lantai belian padi pada RM1,500 per tan metrik, kata MenterinyaDatuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut beliau, harga semasa yang ditetapkan kini adalah RM1,300 per tan metrik, termasuk bagi kawasan Sabah dan Sarawak.

“Mengenai cadangan menetapkan harga lantai belian padi pada RM1,500, saya bukan diktator. Saya perlu berbincang dengan semua pihak, terutama Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar bagi KPKM di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan beberapa Ahli Parlimen, termasuk Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran), yang mencadangkan harga minimum belian padi ditetapkan pada RM1,500 per tan metrik untuk membantu meningkatkan pendapatan pesawah.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kerajaan juga akan melihat mengenai harga siling beras putih tempatan setelah kajian terperinci mengenainya dimuktamadkan dalam masa terdekat. 

Beliau berkata sejak 2008, harga siling beras putih tempatan ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram bagi memastikan rakyat mendapat beras pada harga berpatutan ekoran peningkatan mendadak harga beras di pasaran global pada ketika itu. 

"Namun, selepas 16 tahun, harga siling beras putih tempatan belum disemak dan ini telah memberi kesan langsung kepada pesawah dan pengilang yang menghadapi kenaikan kos di peringkat pengeluaran padi dan beras," katanya.

Menurut Mohamad, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah melengkapkan laporan kajian am mengenai industri padi dan beras dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (FSCC) akan datang. 

"KPKM komited untuk meneliti hasil kajian ini serta syor yang dikemukakan, dengan harapan reformasi industri padi dan beras dapat dilaksanakan secara menyeluruh," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan