AM > BERITA

Sistem Identifikasi Kukuh Perlu Diwujudkan, Seiring Usaha Kerajaan Rangka Subsidi Bersasar - Pakar

12/11/2024 06:29 PM

BANGI, 12 Nov (Bernama) -- Sistem identifikasi yang kukuh perlu diwujudkan, seiring dengan usaha kerajaan merangka subsidi bersasar yang lebih efektif agar bantuan sampai kepada golongan yang tepat, kata Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata kerajaan perlu meyakinkan rakyat mengenai kepentingan deklarasi, bagi memastikan sistem identifikasi kukuh yang membolehkan subsidi bersasar dilaksanakan dengan lebih tersusun dan lancar.

“Saya amat cenderung untuk menggalakkan dan mencadangkan kepada kerajaan agar mewajibkan setiap rakyat Malaysia untuk isytihar pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tidak kira anda kena bayar cukai atau tidak… kita nak rakyat isytiharkan pendapatan mereka.

“Ini kerana input kita sekarang ini hanya asas...suruh isytihar Pangkalan Data Utama (PADU) pun ada yang isytihar, ada yang tak disebabkan ia bukan undang-undang, dan ada yang isytihar tak betul jadi tidak terdapat cara untuk sahkannya,” kata beliau.

Noor Azlan berkata demikian di dalam satu program Bicara Persada – Subsidi Bersasar: Harapan dan Realiti di UKM, di sini, hari ini. Noor Azlan merupakan antara tiga panelis yang hadir pada program 2 jam 30 minit itu.

Beliau berkata langkah membuat deklarasi pendapat tersebut amat penting, bagi memastikan data asas yang lebih tepat, lengkap, dan dapat disahkan khususnya dalam menyalurkan bantuan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan MyKad atau aplikasi MySejahtera sebagai instrumen bagi penyaluran subsidi bersasar, berikutan teknologi dalam kedua-dua platform ini sudah terbukti efisien, terutama sewaktu pandemik COVID-19.

Beliau turut menyentuh tentang cadangan supaya semua rakyat mengisytiharkan pendapatan mereka kepada LHDN yang akan dapat memastikan ekonomi lebih ‘putih’ dengan memastikan setiap penerima bantuan berada dalam rekod rasmi kerajaan.

“Mewajibkan pengisytiharan pendapatan boleh membantu kerajaan dalam memastikan bantuan hanya diberikan kepada yang layak, sekali gus mempermudah proses pemberian bantuan,” kata beliau.

Mohd Afzanizam berkata ini masa yang sesuai untuk kerajaan mempertimbangkan rasionalisasi subsidi bahan api, terutamanya dengan harga minyak mentah dijangka stabil atau menurun berikutan lebihan penawaran global dan peralihan ke arah penggunaan kenderaan elektrik yang berpotensi mengurangkan permintaan terhadap bahan api.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 pada 18 Okt berkata kerajaan memberi jaminan mempertahan kepentingan rakyat terbanyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi.

Anwar berkata kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 dan penjimatan yang dicapai daripadanya akan dimanfaat untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan