AM > BERITA

Anugerah APACC Perkukuh PPD Sebagai Institusi TVET Berprestasi Tinggi

13/11/2024 02:51 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

PORT DICKSON, 13 Nov (Bernama) -- Pengiktirafan Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) diterima oleh Politeknik Port Dickson (PPD) mengukuhkan lagi kedudukan institusi itu sebagai pusat pendidikan teknikal dan vokasional berprestasi tinggi. 

Pengarah PPD Hasan Mohd Sharif berkata pengiktirafan itu mencerminkan kejayaan institusi berkenaan dalam membangunkan kerjasama strategik dengan pelbagai industri multinasional sekali gus mempersiapkan siswazah yang kompeten dan berdaya saing.

Beliau berkata kejayaan itu didorong oleh penubuhan Centre for Electrical, Energy, Technology and Services (CENTS) yang membuktikan komitmen institusi ini dalam menyelaraskan program strategik terkandung dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). 

"Selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, PPD menyokong pembangunan ekonomi inklusif, mampan dan kompetitif dengan program-program yang memenuhi permintaan industri dan perkembangan teknologi semasa.

"Dengan kadar kebolehpasaran siswazah mencapai 96 peratus pada 2023 dan sasaran 97 peratus menjelang akhir tahun ini, PPD berada di landasan yang kukuh untuk terus meningkatkan peluang pekerjaan bagi lepasan politeknik itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata antara rakan industri menjadi penyumbang kepada pencapaian ini ialah HINO (Malaysia), KNX Skills Development Centre Sdn Bhd (KSDC), Global Academia Sdn Bhd (GASB), Fixbay Academy Sdn Bhd, Solarvest Holdings Berhad, SIGTECH Engineering Sdn Bhd dan Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC).

CENTS katanya, menjadi penanda aras bagi institusi TVET lain dalam aspek peningkatan kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia Pasifik.

Hasan berkata CENTS menawarkan lapan kluster utama menumpukan kepada kemahiran kritikal diperlukan industri masa kini dengan membantu graduan meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja.

Beliau berkata melalui Pusat Reskilling dan Upskilling (RUC) bermodelkan CENTS, ia akan membantu menyediakan peluang pembelajaran kepada pekerja dewasa melalui pendekatan kolaboratif dengan industri.

“Semasa pelancaran RUC, seramai 13 pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, PPD dianugerahkan Sijil Basic KNX dan KNX Partner daripada KNX Association Belgium, iaitu pengiktirafan global dalam bidang teknologi automasi bangunan.

“Pencapaian ini memperkukuh status APACC Platinum yang diperoleh PPD, menunjukkan komitmen institusi ini dalam memenuhi piawaian pendidikan TVET bertaraf antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Hasan berkata perancangan jangka panjang PPD adalah untuk menjadi institusi bertaraf premier, berasaskan industri dan komuniti, serta institusi yang berasaskan penyelidikan. 

Beliau berkata usaha ini memperkukuh peranan PPD dalam memacu agenda TVET MADANI bagi melahirkan siswazah kompeten dan bersedia untuk menyumbang dalam sektor industri berasaskan teknologi serta ekonomi mampan masa depan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Politeknik Port Dickson diiktiraf sebagai institusi TVET terbaik di Asia Pasifik oleh APACC. 

Ahmad Zahid berkata pengiktirafan platinum yang diterima itu amat membanggakan kerana APACC ialah badan akreditasi yang dihormati di rantau Asia Pasifik khususnya dalam bidang TVET. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan