SEREMBAN, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan bersedia menerima mana-mana syarikat, termasuk pemilik tanah persendirian yang berminat mengusahakan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata syarikat terlibat bagaimanapun perlu mempunyai kemampuan dalam industri berkenaan.
"Apa yang penting kita kena telus, kita tak mahu orang yang tiada pengalaman buat. Tanah kerajaan, kita kena pilih syarikat berkemampuan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Aminuddin berkata pihaknya turut memberi tempoh masa tertentu iaitu satu hingga enam bulan untuk urusan penjelajahan kawasan kepada pihak yang berminat dalam pengurusan NR-REE ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri meluluskan dua kawasan berkeluasan kira-kira 400 hektar di negeri ini untuk dijadikan lokasi perlombongan NR-REE yang akan dimulakan tidak lama lagi.
Sementara itu Aminuddin berkata Negeri Sembilan dijangka memperoleh hasil lebih tinggi tahun ini berbanding sasaran RM520 juta dalam belanjawan tahun lepas.
“Hasil negeri telah mencapai 95 peratus setakat ini dan dijangka melepasi sasaran pada hujung tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial