AM > BERITA

Karnival 3 Dekad IWK Tingkat Kesedaran Kepentingan Pengosongan Tangki Septik

13/11/2024 09:37 PM

ALOR SETAR, 13 Nov (Bernama) -- Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd baru-baru ini mengadakan Karnival 3 Dekad IWK Memelihara Kesejahteraan Rakyat bersama penduduk Mukim Karangan di Kulim, sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengosongan tangki septik.

Ketua Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK Pauzi Mohamed berkata program itu adalah antara aktiviti kesedaran yang dibuat bagi memberi penjelasan lebih terperinci mengenai Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021.

"Mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 semua pemilik, pengurusan atau penghuni premis yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual dan melalui program kesedaran Ops Sedut ini, IWK dapat mendekati masyarakat setempat serta menyampaikan maklumat mengenai kepentingan pengosongan tangki septik.

“Sempena 30 tahun penubuhan IWK, kami terus komited dalam memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara demi kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Pauzi berkata bagi premis yang menggunakan sistem pembetungan tangki septik individu, pengguna hendaklah faham bahawa ia berfungsi sebagai tangki yang menerima air sisa kumbahan dan mempunyai kapasiti rawatan yang terhad.

“Sekiranya tidak dikosongkan ia boleh menyebabkan air sisa kumbahan tidak dirawat dan seterusnya mengalir ke sungai atau perairan hingga boleh mencemarkan sumber air negara. Sisa kumbahan hendaklah dilupuskan dengan cara yang selamat bagi mengelakkan berlaku penyebaran penyakit bawaan air.

"Mereka yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual dan kegagalan mematuhi peraturan ini merupakan satu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000," katanya.

Sementara itu, Ketua Wilayah Utara Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK Wan Abdul Jalil Wan Husin berkata karnival berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung dan setakat hari ini 250 premis telah mendaftar dengan IWK untuk mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik.

Pada Karnival 3 Dekad IWK tersebut, lebih 500 penduduk dari 10 kampung di mukim berkenaan  hadir menyaksikan demonstrasi pengosongan tangki septik serta cucian lestari iaitu kaedah terbaik bagi mengelak lebihan minyak atau lemak memasuki saluran pembetungan yang boleh mendatangkan pelbagai masalah lain.

Turut diadakan aktiviti seperti sukan rakyat, berjalan 10,000 langkah, taklimat, pertandingan mewarna dan pertandingan gubahan. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan