AM > BERITA

Pelajar Bidang Media Perlu Sedia Berdepan Kepesatan Perubahan Teknologi, Dalami Literasi Media

14/11/2024 01:19 PM

GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Pelajar dalam bidang media perlu mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan kepesatan perubahan teknologi dalam industri media, sekali gus mendalami literasi media bagi membolehkan mereka berfikir secara kritikal dan menapis informasi yang tidak tepat. 

Ketua pegawai eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata pelajar dalam bidang media perlu meningkatkan kemampuan dan kematangan untuk memahami, menganalisis, dan menilai informasi yang diperoleh dari pelbagai jenis media seperti televisyen, radio, surat khabar dan media sosial.

"Dalam program Jelajah HAWANA (Hari Wartawan Nasional) 2024 hari ini, Bernama turut mengadakan sesi perkongsian ilmu menerusi tiga slot pembentangan yang merangkumi topik semasa berkaitan bidang kewartawanan dan kesedaran keselamatan media dalam talian yang merangkumi tajuk Mobile Journalism serta Semakan Fakta oleh Bernama, diikuti oleh topik Klik Dengan Bijak oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Kita melihat pelajar komunikasi perlu dipersiapkan untuk menghadapi cabaran kepesatan teknologi kerana kita sedar mereka perlu dididik dan diberi kesedaran tentang pentingnya menggunakan internet secara bijak agar mereka tidak menjadi mangsa perkara negatif hasil penggunaan internet," katanya kepada pemberita pada Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Nur-ul Afida berkata industri media sering berdepan cabaran meluas berikutan perkembangan teknologi dan digitalisasi yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam cara menerima dan menyebarkan maklumat daripada mesin taip ke internet, daripada internet ke media sosial dan kini mendalami Kecerdasan Buatan (AI). 

Beliau berkata AI muncul sebagai daya penggerak perubahan transformasi dalam pelbagai sektor termasuk industri media yang mampu memperkasakan kandungan berita secara lebih kreatif dan menarik, khususnya penyampaian berita di media sosial.

Nur-ul Afida berkata kepesatan inovasi AI membawa pelbagai pertimbangan berkaitan etika, sosial dan kawal selia, justeru pengamal media perlu mendukung kebertanggungjawaban tinggi dalam pelaporan mereka tanpa melanggar hak orang lain atau undang-undang.

Mengulas lanjut, beliau berkata industri komunikasi dan media sentiasa ada permintaan selain memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi digital dan pembangunan ekosistem yang pesat.

"Memetik laporan Kementerian Komunikasi baru-baru ini, industri komunikasi dan multimedia di Malaysia menyumbang  sebanyak RM140.38 bilion atau 8.1 peratus daripada nilai keseluruhan modal dalam pasaran Bursa Malaysia setakat 31 Dis 2023, melambangkan kepentingannya sebagai kuasa pemandu di sebalik kemajuan teknologi dan transformasi digital," katanya.

Lebih 500 pelajar dan pensyarah dari tiga universiti awam iaitu USM, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyertai Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi Zon Utara hari ini.

Kementerian Komunikasi menerusi Bernama selaku Urusetia HAWANA 2024 menyampaikan sumbangan set komputer berkeupayaan tinggi dan televisyen bersaiz 65 inci kepada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di 14 universiti awam sempena sambutan HAWANA tahun ini bagi membantu pembelajaran para pelajar.

Turut hadir Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan