AM > BERITA

KPDN Tumpas Sindiket Campur Minyak Masak Peket Dengan Minyak Terpakai

14/11/2024 03:43 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan sindiket mencampurkan minyak masak peket bersubsidi dengan minyak terpakai untuk dijual pada harga lebih tingi.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata kegiatan itu terbongkar menerusi dua serbuan berasingan ke atas sebuah kediaman di Taman Kajang Jaya serta premis perniagaan Bandar Rincing di Selangor, Selasa lepas. 

Beliau berkata kediaman berkenaan disyaki dijadikan stor untuk menjalankan kegiatan memotong peket minyak masak untuk dikumpulkan dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) sebelum dihantar ke premis kedua untuk dicampurkan dengan minyak terpakai.

Jelasnya, sindiket yang disyaki beroperasi selama enam bulan tersebut membeli minyak masak peket satu kilogram (kg) secara pukal daripada beberapa pembungkus pada harga RM2.50 dan mencampurkan minyak itu dengan minyak masak terpakai sebelum dijual semula pada harga RM3.80 hingga RM5 sekilogram.

"Bayangkan betapa lumayannya industri gelap ini...minyak terpakai ini boleh diproses menjadi biodiesel. Terdapat pemintaan tinggi bukan sahaja dalam negara, juga daripada negara jiran," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Armizan berkata setakat ini, 11 lelaki warga asing serta empat warga tempatan berusia antara 25 hingga 45 tahun yang disyaki terlibat ditangkap dan mereka direman hingga Sabtu ini.

Beliau berkata KPDN turut menyita hampir 15,000 kg minyak masak bersubsidi serta peralatan yang digunakan dengan nilai keseluruhan RM429,850. 

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mengulas lanjut, Armizan berkata KPDN tidak menolak kemungkinan terdapat banyak lagi sindiket yang menggunakan modus operandi itu di seluruh negara. 

"Saya ingin sampaikan kepada sindiket-sindiket ini, kita akan bertindak dengan lebih tegas. Tindakan kita bukan hanya kepada kamu, tetapi juga terhadap pembungkus, pemborong dan peruncit yang terlibat dalam aktiviti ini," katanya. 

Dalam pada itu, Armizan menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan, penyelewengan atau ketirisan kepada KPDN.

Beliau berkata keterlibatan orang awam amat penting untuk membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang bersubsidi dan ini terbukti apabila ia membawa kepada penemuan modus operandi baharu dalam kes ini. 

"Serbuan ini adalah hasil partisipasi awam. Ia telah membawa kepada satu kes yang agak besar. Keterlibatan orang ramai membantu KPDN dan kerajaan dalam aspek membanteras ketirisan dan mengawal barangan bersubsidi," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan