JOHOR BAHRU, 14 Nov (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak berdepan masalah kebolehpasaran graduan selepas terus mencatatkan kadar kebolehpasaran 100 peratus serta tertinggi dalam kategori graduan berpendapatan premium dan berkemahiran tinggi.
Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kadar graduan ijazah pertama di universiti itu, khususnya yang memperoleh pendapatkan premium turut meningkat.
“Data semasa SKPG setakat ini bagi Majlis Konvokesyen UTM ke-68 (MK68) tahun ini menunjukkan kenaikan kepada 21.6 peratus graduan ijazah pertama yang berstatus bekerja, memperoleh pendapatan premium.
“Ini menunjukkan peningkatan berbanding 18.4 peratus graduan ijazah pertama yang memperoleh pendapatan seumpama itu bagi MK67 tahun lepas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyatakan seramai 1.95 juta graduan lepasan universiti di negara ini bekerja di sektor lebih rendah yang tidak setimpal dengan kelulusan dimiliki.
Ahmad Fauzi berkata pencapaian UTM itu menjadi bukti bahawa kualiti graduan universiti berkenaan sama ada dari sudut akademik, kemahiran dan adab adalah relevan bagi memenuhi permintaan pasaran kerjaya yang progresif.
Beliau berkata peratusan graduan ijazah pertama UTM bekerja di syarikat multinasional (MNC) bertaraf global mencatatkan 22.6 peratus berdasarkan data semasa bagi graduan MK68 yang istiadat konvokesyen berkenaan akan diadakan pada Sabtu hingga 21 November ini
Sehubungan itu, Ahmad Fauzi berkata selaras aspirasi UTM menjelang 2030, penghasilan Graduan Premium Tier 1 akan menjadi sasaran baharu universiti berkenaan.
“Kelompok graduan ini merupakan graduan yang berjaya menempatkan diri dengan pendapatan premium lebih RM4,000 dalam sektor pekerjaan di syarikat MNC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Selain itu, graduan UTM bukan sekadar menunggu untuk mendapat peluang pekerjaan di syarikat yang dinyatakan tadi bahkan graduan kelahiran universiti ini turut menjadi pencipta peluang kerja,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial