SEREMBAN, 14 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan akan membuat keputusan sama ada perlu mengeluarkan fatwa khusus GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada hujung bulan ini, kata Mufti negeri Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badaruddin.
Beliau berkata sehingga kini, jawatankuasa itu masih melihat relevansi fatwa al-Arqam pada 2016 bagi menangani isu GISBH.
“Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hari ini belum diterima secara rasmi lagi, keputusan itu akan dibawa ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa negeri pada akhir bulan ini bagi melihat keperluan sama ada satu fatwa khusus GISBH perlu dikeluarkan atau tidak.
“Negeri Sembilan masih merujuk kepada fatwa al-Arqam 2016 bagi penguatkuasaan terhadap pengikut GISBH. Penguatkuasaan dan pendakwaan di mahkamah juga berdasarkan warta berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hari ini memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr Nooh Gadut berkata mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24-26 Sept lepas yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri kekal dengan pendirian merujuk dan menggunakan pewartaan sesat bagi penyelewengan al-Arqam pada 2016 terhadap ajaran dan kepercayaan pengikut GISBH di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial