AM > BERITA

Kerajaan Pertimbang Cadangan Perkenal TVET Di Peringkat Umur Lebih Awal

15/11/2024 05:37 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

ABU DHABI, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang menimbang cadangan untuk memperkenalkan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada peringkat umur lebih muda seperti yang sedang dilaksanakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada masa ini aliran TVET dalam sistem pendidikan negara diperkenalkan kepada pelajar pada usia 16 tahun berbanding UAE yang memasukkan aliran tersebut untuk pelajar berusia 11 tahun.

“Ini memerlukan komitmen daripada pihak kerajaan dan kedua-dua kementerian (Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi) serta ibu bapa apabila mereka menjadikan TVET sebagai pilihan utama untuk anak-anak mereka.

“Saya akan perhalusi (kemungkinan ini) kerana saya tidak mahu ‘menggegarkan’ sistem pendidikan sedia ada,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri melawat Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Abu Dhabi (ACTVET) dan bertemu dengan Ketua Pengarah ACTVET Dr Mubarak Saeed Al Shamsi, bersama barisan kepimpinan tertinggi mereka.

Ahmad Zahid berkata lawatan tersebut membuka peluang ke arah memperkukuh kerjasama antara ACTVET dan Majlis TVET Negara (MTVET) bagi mempertingkatkan sistem pendidikan vokasional di Malaysia.

“Di ACTVET, pengambilan pelajar bermula seawal usia 11 tahun, meningkat melalui tahap kemahiran dan mencapai piawaian yang diiktiraf di peringkat global seperti WorldSkills. Komitmen terhadap kecemerlangan ini mencerminkan aspirasi kita untuk MTVET di Malaysia,” katanya.

Dengan mengadaptasi amalan terbaik ACTVET, beliau berkata Malaysia dan UAE berhasrat untuk membangunkan sistem TVET berkualiti tinggi yang bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal tetapi dapat membentuk keyakinan dan perasaan bangga kepada mereka yang mengikuti pendidikan itu.

“Malaysia berharap kerjasama dengan ACTVET dapat terus diperkukuh melalui program latihan bersama, pertandingan kemahiran dan pertukaran pengetahuan.

“Usaha yang dilakukan ini sangat penting ke arah menjadikan sistem TVET Malaysia sebagai sumber kebanggaan negara, membentuk ketahanan dan daya saing global,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan