AM > BERITA

KPKT Dipilih Kementerian Berprestasi Paling Cemerlang 2024

15/11/2024 07:49 PM

PUTRAJAYA, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjadi kementerian pertama menerima Anugerah Pembangunan Negara (APN) 2024 pada majlis yang berlangsung baru-baru ini. 

Menterinya Nga Kor Ming berkata APN 2024 dianugerahkan kepada kementerian yang berjaya mencapai prestasi paling cemerlang dalam tiga aspek iaitu pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), pengurusan program dan projek pembangunan serta penilaian hasil.

Selain APN 2024, KPKT turut merangkul tiga anugerah lain iaitu Tempat Pertama Anugerah Pengurusan IBS Terbaik Peruntukan di atas RM1 Bilion; Tempat Pertama Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi dan Anugerah Khas Penilaian Outcome Pencapaian Konsisten.

Nga berkata lima faktor menyumbang kepada kejayaan KPKT ialah perancangan rapi, pelaksanaan yang berkesan, pelan komunikasi efektif, kepimpinan berintegriti dan semangat bekerja sebagai satu pasukan.

“Kejayaan yang diperoleh KPKT ini adalah hasil usaha berterusan semua jabatan dan bahagian di bawah kementerian dalam merancang dan melaksanakan projek yang memberikan impak positif bagi memenuhi keperluan masyarakat.

“Diharapkan ia akan menjadi dorongan dan suntikan semangat kepada seluruh keluarga KPKT dalam meneruskan kecemerlangan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebagai tanda penghargaan atas kejayaan yang dirangkul kementerian, Nga berkata beliau mendermakan satu bulan gajinya sebagai menteri kepada tabung kebajikan warga KPKT.

“Saya amat bangga dan terhutang budi kepada seluruh 22,000 anggota keluarga KPKT, tanpa jasa bakti sumbangan pengorbanan mereka, tak mungkin (dapat kejayaan).

“(Sumbangan gaji) ini sebagai tanda kebersamaan, solidariti bersama staf saya. Saya nak buktikan kepada mereka, menteri bersama warga KPKT berpisah tiada, membawa semangat ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaan yang dicapai, bagi Anugerah Pengurusan IBS Terbaik Peruntukan di atas RM1 Bilion, beliau berkata anugerah itu diberikan kepada kementerian terbaik yang mematuhi pelaksanaan projek kerajaan menggunakan kaedah IBS iaitu dengan minimum skor 70.

Beliau berkata KPKT berjaya melaksanakan 92 projek berkategori Fizikal Pembinaan - Bangunan Baharu yang terlibat dalam pelaksanaan IBS, antaranya Program Residensi Rakyat, balai bomba dan penyelamat, pasar baharu, terminal bas dan lain-lain jenis pembangunan yang berkaitan.

Nga berkata Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi pula memberi pengiktirafan kepada kementerian dan agensi yang telah menunjukkan prestasi tinggi dalam penilaian hasil program atau projek yang telah disiapkan berdasarkan peruntukan yang diluluskan.

“Penilaian hasil adalah satu kaedah untuk menentukan sama ada sesuatu program atau projek yang telah siap mencapai objektif yang disasarkan dengan mengukur keberhasilannya.

“Ini membuktikan bahawa keberkesanan program atau projek KPKT dalam memberi manfaat kepada golongan sasar dan rakyat. KPKT telah memperoleh markah keseluruhan sebanyak 93.8 peratus bagi kajian penilaian hasil lima projek,” katanya.

Lima projek itu ialah Program Perumahan Rakyat Taman Perling, Johor Bahru, Johor; Apartmen Kelisa Ria, Kajang, Selangor (Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai); Pembangunan Taman Botani Kuching, Sarawak; Balai Bomba dan Kuarters, Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan; serta Membina Semula Medan Selera di Jalan Kerja Ayer Lama, Ampang, Selangor.

Selain itu, Nga berkata KPKT mengungguli Anugerah Khas Penilaian Outcome Pencapaian Konsisten bagi tahun kedua berturut-turut.

Anugerah Khas itu mengiktiraf daya usaha berterusan kementerian mengekalkan pencapaian penilaian hasil di tahap prestasi tinggi iaitu melebihi 90 peratus bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan