SHAH ALAM, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor memutuskan untuk mengurangkan duti hiburan bagi menggalakkan lebih ramai pelancong mengunjungi negeri itu sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata dasar mengecualikan duti hiburan secara penuh bagi artis tempatan akan diteruskan pada tahun depan.
Beliau berkata bagi artis antarabangsa, duti hiburan akan dikurangkan daripada 25 kepada 10 peratus.
"Langkah itu supaya lebih ramai warga Selangor dapat memanfaatkan kehadiran artis antarabangsa untuk memeriahkan lagi industri kreatif dan muzik di negeri ini," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Amirudin berkata sempena Tahun Melawat Selangor 2025, duti hiburan bagi pameran bertiket juga akan dikurangkan daripada 25 kepada 15 peratus.
Beliau berkata pengurangan duti hiburan itu akan menyebabkan implikasi kewangan sebanyak RM13.17 juta sepanjang tahun hadapan.
"Meskipun begitu, pentadbiran ini percaya penjimatan di tangan pengguna mampu membawa kebaikan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang beroperasi sepanjang pementasan serta konsert sambil memupuk lebih ramai generasi muda untuk mencungkil bakat masing-masing," katanya.
Amirudin berkata bagi merancakkan lagi industri pelancongan negeri, sebanyak RM8 juta diperuntuk bagi pelaksanaan program promosi dan acara pelancongan di samping melaksanakan kerja-kerja menaik taraf lokasi tumpuan pelancong.
Sebelum ini, Selangor menyasarkan lebih lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke negeri itu sempena Tahun Melawat Selangor 2025 berdasarkan pelbagai tawaran serta program yang disediakan khusus untuk pelancong sekali gus memberi kesan positif kepada penggiat industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial