AM > BERITA

PM Anwar Lakukan Lawatan Kerja Ke Brazil, Hadiri Sidang Kemuncak G20

16/11/2024 09:21 AM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 16 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro, Brazil dari 16 hingga 19 Nov ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

Beliau akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri  Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kementerian Luar dalam kenyataan media memaklumkan, kehadiran Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20 adalah atas jemputan Presiden Brazil Inácio Lula da Silva yang mencerminkan hubungan diplomatik yang mesra antara Malaysia dan Brazil.

Ia juga memperlihatkan penglibatan aktif Malaysia dalam usaha kemampanan dan reformasi tadbir urus global. Di bawah kepimpinan Brazil di G20 pada tahun ini, Malaysia menyertai dua inisiatif yang signifikan iaitu Environment and Climate Sustainability Working Group (ECSWG) dan G20 Initiative on Bioeconomy (GIB).

Semasa Sidang Kemuncak G20, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi mengenai Fight Against Hunger and Poverty dan Reform of Global Governance Institutions.

Anwar juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Negara Anggota Kumpulan G20 untuk membincangkan isu dua hala dan pelbagai hala yang berkepentingan bersama.

Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, untuk  membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia-Brazil, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta industri semikonduktor dan juga bagi mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala termasuk ASEAN, BRICS dan G20.

Anwar juga akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Brazil bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor minyak dan gas, serta teknologi digital.

Menurut kenyataan itu, penglibatan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak G20 menekankan hasrat Malaysia untuk memajukan kerjasama ekonomi, menggalakkan kesejahteraan dan pembangunan inklusif serta reformasi tadbir urus global.

Lawatan Kerja ini juga membuka peluang kerjasama yang lebih luas untuk Malaysia dan Brazil, apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 dan Brazil sebagai Pengerusi BRICS pada tahun sama.

Selain itu, Lawatan Kerja ini juga akan lebih mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Brazil

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan