AM > BERITA

Tragedi Sungai Jahang: Khairul Hakim Ringan Tulang, Jaga Ibu Hingga Akhir Hayat - Abang

16/11/2024 10:51 AM

KAMPAR, 16 Nov (Bernama) -- Penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Langkawi Muhamad Khairul Hakim Hamidi, 37, yang maut dalam tragedi kepala air di Sungai Jahang, Gopeng semalam terkenal dengan sikap ringan tulang dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan.

Perkara itu diakui oleh abang mangsa Muhamad Nazri Hamidi, 51, yang berkata adik bongsu daripada enam beradik itu banyak membantu keluarga terutama dalam hal ehwal penjagaan ibu bapa mereka.

“Paling saya kenang ialah jasanya sewaktu menjaga ibu kami yang sakit hingga arwah (ibu) meninggal dua tahun lepas, ibu meninggal 9.11, dia (Muhamad Khairul Hakim) meninggal 15.11… saya sedih kerana dia rajin dan banyak sangat jasa kepada keluarga,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kampar di sini malam tadi.

Muhamad Nazri berkata adiknya yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak sudah lama bekerja dengan JKR dan dipindahkan ke JKR daerah Langkawi dua tahun lepas.

Menurutnya, kali terakhir mereka berbual pada dua hari lepas, apabila Muhamad Khairul Hakim memaklumkan akan keluar dari Pulau Langkawi atas urusan kerja.

Dalam perbualan itu, adiknya bercadang untuk mengajaknya dan seorang lagi abang untuk berkonvoi motosikal bersama-sama namun tidak kesampaian.

“Tiada sebarang sikap pelik ditunjukkan, namun saya terkilan tidak dapat menunaikan hajat terakhir untuk berkonvoi motosikal bersama-sama,” katanya.

Muhamad Nazri berkata jenazah Muhamad Khairul Hakimi akan dikebumikan di kampung asal mereka di Kampung Bukit, Pokok Sena, Kedah.

Muhamad Khairul Hakim adalah antara tiga petugas JKR yang maut akibat lemas dalam tragedi kepala air di Sungai Jahang ketika menjalankan aktiviti rakit arus deras atau water rafting dalam kejadian 5.50 petang semalam.

Dua lagi yang lemas ialah Suhaili Mat Saad, 47, iaitu jurutera daerah Seberang Perai Tengah dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, pegawai khidmat pelanggan JKR Langkawi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan