AM > BERITA

MCMC, MPOB Ganding Bahu Majukan Inisiatif Teknologi Masa Depan Industri Sawit

16/11/2024 11:28 AM

PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengumumkan pencapaian penting dalam kerjasama strategik sejajar kejayaan menyelesaikan cabaran keterhubungan dalam ladang sawit dan kemuncaknya inisiatif AgriNXT: Oil Palm Chapter (OPC).

Inisiatif berkenaan sebahagian daripada usaha bersama kedua-dua pihak untuk mempercepat penerapan teknologi masa depan dalam industri sawit negara.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Februari 2023, di bawah MoU berkenaan MCMC dan MPOB komited menangani cabaran utama dalam industri sawit, khususnya isu keterhubungan dalam ladang kelapa sawit.

"Buktinya, kanopi pelepah pokok kelapa sawit yang tebal telah menjadi halangan ketara sejak sekian lama namun dengan kemajuan yang diperkenalkan, isu keterhubungan ini berjaya diselesaikan lantas membolehkan komunikasi dan pemindahan data yang lancar.

"Pencapaian ini penting untuk memupuk inovasi dan meningkatkan produktiviti dalam industri ini," menurut MCMC.

Inisiatif AgriNXT: OPC merupakan pertandingan yang disasarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula yang berhasrat mempercepat pembangunan dan penerapan teknologi maju bagi industri kelapa sawit. 

Pernyataan masalah untuk AgriNXT: OPC direka khusus oleh pihak MPOB untuk menguji penyelesaian keterhubungan di bawah kanopi sawit. 

Pemenang untuk pertandingan itu iaitu Myventures Digital Sdn Bhd, Mind Mechatronic Intelligent Design Sdn Bhd, HSS ProPick Technologies Sdn Bhd, InfoTrax Sdn Bhd dan A2tech Sdn Bhd masing-masing menerima RM75,000 untuk membangunkan penyelesaian bagi pernyataan masalah yang spesifik.

Antara penyelesaian yang diterokai termasuklah pemerkasaan laporan mesin, mengenal pasti kematangan buah dengan kecerdasan buatan (AI) serta menggunakan dron dan teknologi kawalan jauh untuk navigasi ladang.

Penyelesaian yang berjaya itu telah dipersembahkan pada 28 Nov 2023 di ibu pejabat MPOB ketika fasa pertandingan dan kemudiannya diuji secara rintis dari 5 hingga 7 Ogos lepas di Stesen Penyelidikan MPOB di Kluang, Johor. 

Ini memberikan ruang untuk menguji penyelesaian mereka dalam persekitaran nyata selain mendapatkan maklum balas daripada pakar industri sekali gus mengukuhkan lagi keberkesanan penyelesaian inovatif dan keterhubungan di bawah kanopi sawit, menurut MCMC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan