Oleh Noornasrin Salsabila Othman
MACHANG, 16 Nov (Bernama) -- Bermula sekadar mencuba nasib dengan 'berkarya' dengan menghasilkan karya seni pada topi keledar melalui teknik mengecat melukis dan mengecat, siapa menduga usaha ini membawa tuah kepada bekas pereka fesyen sehingga mampu meraih pulangan lumayan.
Lee Chooi Yee, 39, lulusan Universiti Limkokwing berkata dia sama sekali tidak pernah menyesal apabila mengambil keputusan 'beralih angin' daripada menjadi seorang pereka fesyen kepada pelukis dan pengecat topi kaledar sejak 10 tahun lepas.
Ketelitian kerja seni Lee Chooi Yee menghasilkan pelbagai corak dan tema termasuk 'custom design' pada helmet dengan mengetengahkan teknik 'air brush' yakni menggunakan udara mampat untuk menyembur cat bagi mendapatkan kesan semburan yang halus dan licin itu mampu menarik tumpuan sesiapa sahaja melihatnya.
"Saya memulakan kerjaya sebagai pelukis 'air brush' ini selepas menamatkan karier sebagai pereka fesyen di Selangor sekitar 2014 disebabkan beberapa faktor termasuk bayaran gaji yang diterima tidak setimpal dengan penat lelah. Bagaimanapun, demi kelangsungan hidup, cubaan untuk berkecimpung dalam seni kreatif ini ternyata membuahkan hasil.
"Idea untuk berkecimpung dalam bidang ini tercetus selepas saya melihat sebuah video di Youtube mengenai seorang lelaki yang mengecat kereta menggunakan teknik 'air brush' ditambah pula suami saya Ricky Gan, 44, juga meminati motosikal berkuasa tinggi," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya dekat Kampung Paloh Rawa di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Lee Chooi Yee berkata kebiasaannya dia akan berbincang dengan pelanggan mengenai keutamaan mereka termasuk warna dan sebagainya serta menyediakann lukisan kasar sebelum memulakan kerja.
"Dari segi pemilihan topi keledar, lebih baik sekiranya pelanggan memberi warna putih tanpa sebarang kerosakan dan saya mampu siapkan sekitar dua minggu atau lebih dua bulan bergantung kepada saiz topi itu serta corak yang diperlukan," katanya.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, proses untuk melukis serta semburan cat perlu dilakukan secara teliti termasuk memakai sarung tangan ketika proses tersebut bagi mengelakkan sebarang kerosakan termasuk kesan jari yang akan menjejaskan kualiti corak serta warna yang dihasilkan.
"Antara corak yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah corak bertemakan binatang termasuk corak ikan koi, monyet, naga dan sebagainya. Selain itu, corak bertemakan abstrak turut menjadi pilihan pelanggan yang terdiri daripada pelumba motosikal dan kereta.
"Dari segi harga pula, ia dijual serendah RM1,800 dan boleh mencecah lebih RM7,000 untuk setiap satu topi keledar yang dihasilkan bergantung kepada jenis serta corak lukisan. Sekiranya ia rumit serta memerlukan lukisan tangan yang lebih banyak, ia akan menjadi lebih mahal," katanya.
Lee Chooi Yee berkata, hasil seni kreatif yang dihasilkan itu bukan sahaja mendapat perhatian pelanggan dalam negara bahkan turut mendapat permintaan dari luar negara termasuk Hong Kong, Perancis, Australia, Singapura, Amerika Syarikat serta pelanggan kenamaan termasuk kerabat Diraja.
"Ada pelanggan yang menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada saya termasuk meminta membeli topi keledar untuk ditata rias. Untuk pelanggan yang berada di luar Kelantan kebiasaannya khidmat pos akan digunakan untuk menghantar topi itu.
"Seni kreatif ini sebenarnya bukan hanya terhad kepada topi keledar sahaja tetapi ia turut dapat dilakukan terhadap barangan lain seperti gitar dan sebagainya mengikut permintaan pelanggan. Malah, beberapa bulan lalu saya turut menerima tempahan daripada pemain gitar dari Band Amy Search bertemakan bendera Palestin," katanya yang mula dikenali menerusi media sosial Facebook dan Instagram miliknya iaitu 'Abs Lee Design'.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial