AM > BERITA

KPM Siapkan Panduan Pengurusan Bencana Banjir Hadapi Monsun Timur Laut

16/11/2024 03:41 PM

NIBONG TEBAL, 16 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyiapkan Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang merangkumi tindakan sebelum, semasa dan selepas banjir.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM memandang serius kebajikan dan keselamatan seluruh warga institusi pendidikan, dan telah melakukan persiapan awal mendepani banjir susulan MTL yang dijangka berlaku lebih awal kali ini. 

"Pengetahuan dan kemahiran secukupnya serta sumber mencukupi telah disediakan untuk bertindak dengan lebih pantas apabila berhadapan situasi berkenaan. 

"Pengurangan Risiko Bencana (DRR) juga diperkenalkan sebagai satu intervensi bagi memastikan warga institusi pendidikan khususnya murid sentiasa bersedia menghadapi bencana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MyLesen B2 Tahun 2024 Parlimen Nibong Tebal di sini hari ini. 

Beliau berkata murid turut diberikan pendedahan komprehensif tentang langkah menghadapi dan melindungi diri ketika berlakunya bencana.

Fadlina berkata KPM juga memberi tumpuan dalam melengkapkan kemudahan sekolah memandangkan premis berkenaan akan dijadikan pusat pemindahan sementara selain membuat latihan persiapan kepada sukarelawan. 

“KPM akan pastikan sekolah selamat, kondusif untuk meneruskan pendidikan anak-anak ini. Kalau sekolah itu tidak dapat meneruskan pendidikan seperti biasa kerana proses ataupun tempoh masa banjir masih lama, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan.

"Pada masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) untuk membantu murid dari aspek kaunseling dan pembelajaran," katanya.

Sementara itu dalam isu vape dan rokok dalam kalangan murid sekolah, Fadhlina berkata KPM komited dengan usaha untuk mengekang tabiat berkenaan.

Beliau berkata murid yang melakukan salah laku seperti merokok atau menghisap vape akan direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) untuk tindakan intervensi oleh guru bimbingan dan kaunseling. 

"Selain garis panduan sedia ada, KPM melaksanakan pelbagai program dan aktiviti pendidikan pencegahan seperti Program Skim Lencana Antidadah serta Program Lima Minit Antirokok dan Vape. 

"KPM turut melaksanakan Program Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape bagi mengekang trend murid yang menjadikan tabiat menghisap rokok dan vape sebagai satu kebiasaan, bagi menerapkan nilai kesedaran murid akan bahaya rokok dan vape serta membentuk jati diri yang unggul," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan