PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) mencapai 97.3 peratus pada 2023 sekali gus mengekalkan status universiti itu sebagai pusat pengajian dan penyelidikan tenaga terunggul di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Naib Canselor UNITEN Prof Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata universiti itu juga menerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan 2024 oleh Talentbank dalam bidang kejuruteraan awam, elektrik dan mekanikal, membuktikannya sebagai institusi yang melahirkan tenaga kerja berkualiti.
“Kadar kebolehpasaran pada 2022 adalah 96.8 peratus dan ia meningkat kepada 97.3 peratus pada 2023. Memang kita dapati graduan kita laku di pasaran,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Konvokesyen UNITEN ke-26 di sini hari ini.
Beliau berkata UNITEN komited melahirkan graduan yang bukan hanya cemerlang dalam pelbagai bidang akademik bahkan memiliki sahsiah unggul dengan menggalakkan mereka mendalami ilmu keagamaan menerusi pensijilan tahfiz al-Quran.
“Pemenang Anugerah Canselor Emas UNITEN juga adalah pelajar yang mengikuti program tahfiz al-Quran, kita seimbangkan pelajar dengan kedua-dua ilmu iaitu dunia dan akhirat,” katanya.
Sementara itu, Khairul Salleh berkata UNITEN dijangka menawarkan program sarjana muda dalam bidang kecerdasan buatan (AI) pada tahun depan sebagai inisiatif menyambut seruan kerajaan melahirkan bakat tempatan dalam bidang berkenaan.
“Kita menyambut seruan kerajaan sekarang untuk meningkatkan lagi bilangan bakat dalam bidang AI dan sekarang UNITEN dalam proses untuk kelulusan (program itu).
“Insya-Allah, bila kita dapat kelulusan itu kita akan mula iklankan namun buat masa ini program yang sedia ada pun memang kita dah wujudkan kursus AI,” katanya.
Majlis konvokesyen yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang juga Canselor UNITEN, menyaksikan 1,412 graduan menerima ijazah dan diploma pada sesi dua hari bermula hari ini.
Pada majlis itu, Pengarah Presiden Pt Bayan Resources Tbk Datuk Dr Low Tuck Kwong dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perniagaan atas sumbangan besar beliau dalam dunia perniagaan dan komitmen pembangunan pendidikan.
Pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) yang juga pelajar huffaz UNITEN Muhammad Hasif Zikry Mohd Ridzwan pula dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor Emas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial