KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Dusun Rumanau, yang turut dikenali Dusun Lobu di Keningau adalah satu etnik minoriti, dibandingkan dengan etnik lain di Sabah yang mempunyai keseluruhan 35 etnik dan 217 subetnik.
Bagaimanapun rasa cinta terhadap budaya dan seni tari Dusun Rumanau mendorong seorang guru Brandon Balasius @ Boichore, yang juga koreografer melakukan kajian mendalam mengenai perkara berkenaan, seterusnya menjadi inspirasi untuk mengangkat etnik itu di mata dunia.
Usaha guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya di sini membuahkan hasil apabila anak didiknya Kumpulan Tukang-Tukang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor, Keningau memenangi dua pingat emas dan dua anugerah utama pertandingan Tarian Piala Dunia 2024 di Prague, Republik Czech Julai lepas.
“Saya mahu angkat etnik minoriti ini ke mata dunia melalui tarian dan saya bersyukur sasaran itu berjaya, sekali gus mengangkat nama Malaysia.
“Keningau mempunyai pelbagai suku kaum dan etnik namun apabila pertama kali melihat pakaian, tarian dan budaya Dusun Rumanau yang sangat menarik, saya terus buat kajian sebelum mengolahnya menjadi satu tarian kreatif,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata hasil kajiannya mendapati masyarakat Dusun Rumanau ada di daerah Tongod dan ada yang telah berhijrah ke daerah Kinabatangan serta Sandakan.
“Di daerah Keningau pula, etnik Dusun Rumanau tinggal di kawasan Sook yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Pekan Keningau. Bahasa yang dituturkan berlainan daripada bahasa yang dituturkan oleh kebanyakan masyarakat Dusun,” katanya.
Brandon, yang telah menjadi pereka tari sejak 2012 berkata antara yang menarik minatnya terhadap Dusun Rumanau adalah pakaian tradisi yang unik dan cantik.
“Pakaian yang dipakai oleh para penari saya adalah hasil tenunan orang Rumanau. Saya lihat tenunannya sangat halus dan membawa identiti masyarakat berkenaan.
“Tarian mereka juga sangat unik kerana penari dan pemuzik orang yang sama… Mereka menari sambil memainkan alat muzik, oleh itu saya olah tarian berkenaan berdasarkan sejarah etnik Rumanau,” tambahnya.
Brandon berkata mengikut cerita pada zaman dahulu Dusun Rumanau terkenal kerana sangat kuat dan mahir dalam aktiviti berburu menyebabkan mereka disegani.
Beliau berkata selepas melakukan kajian berkaitan Dusun Rumanau, beliau kemudiannya mula mencipta tarian sebelum berlatih bersama para penari.
“Kami telah berlatih selama tiga bulan sebelum ke pertandingan di Prague,” katanya.
Sementara itu beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk guru-guru dan ibu bapa para penari yang banyak memberikan semangat serta dorongan kepada para penari.
“Saya berasa sangat bersyukur dan apa yang saya serta pasukan sasarkan tercapai. Sebenarnya sasaran ini kami telah lama simpan dan saya berharap kami akan mengulangi pencapaian ini pada masa akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial