BANDAR BAHARU, 17 Nov (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Islam yang menentang Israel adalah sangat jelas.
Beliau berkata tuduhan bahawa kerajaan dan Perdana Menteri menyokong Israel hanya bertujuan mahu meraih keuntungan politik semata-mata.
Saifuddin Nasution berkata beliau kesal apabila pendirian Anwar dalam perkara itu masih lagi dipertikai sedangkan kerajaan sudah menjelaskannya berulang kali.
"Berpolitikpun biarlah ada sempadan... takkanlah sampai tak boleh buat penilaian langsung. Saya percaya bahawa rakyat terbanyak mengikuti perkara ini dan rakyat tahu membuat penilaian.
"Sebab itu, kita minta hentikanlah tapi kalau dah berlebihan, ya tentulah pendekatan penguatkuasaan kita ambil," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri membidas pihak yang masih memfitnah beliau berhubung isu sokongan kepada Israel serta menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan memperbodoh rakyat.
Semalam, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia tetap konsisten dengan pendiriannya terhadap isu Israel dan Palestin sambil menekankan bahawa Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial