AM > BERITA

Lee Lam Thye Seru PDRM Rombak Latihan, Utamakan Nilai, Etika Dan Integriti

17/11/2024 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru merombak dan memperkukuh modul latihan dengan memberi keutamaan bukan sahaja kepada kemahiran profesional tetapi juga memupuk nilai, etika, integriti dan prestasi kerja.

Ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye menyatakan sokongannya terhadap kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berhubung cabaran semasa yang dihadapi pasukan polis.

“Segalanya bermula dengan latihan. Latihan juga harus merangkumi bagaimana pegawai perlu bertindak balas dan melaporkan kes apabila orang awam menawarkan rasuah.

“Selain latihan, perkhidmatan kaunseling juga perlu disediakan. Dalam kesalahan kecil, mungkin ada peluang untuk membuka lembaran baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi November 2024 di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini Jumaat lepas berkata 22 pegawai PDRM terlibat dalam kes jenayah komersial tahun lepas dan jumlah itu meningkat kepada 23 orang dari Januari hingga September tahun ini.

Razarudin berkata kredibiliti dan imej PDRM telah tercalar akibat penahanan beberapa pegawai yang terlibat dalam jenayah seperti kesalahan dadah, salah guna kuasa dan aktiviti jenayah lain.

Lee berkata walaupun hanya segelintir pegawai yang terlibat  rasuah, ia boleh menjejaskan reputasi keseluruhan pasukan sekali gus menenggelamkan dedikasi 130,000 pegawai dan anggota yang jujur.

“Jika tidak dikawal, tindakan segelintir ini boleh menimbulkan ketidakpercayaan dan skeptisisme dalam kalangan masyarakat. Justeru, adalah penting untuk mengambil tindakan konkrit sekarang,” katanya.

Mengenai isu pemberi maklumat, Lee mencadangkan agar PDRM melaksanakan mekanisme yang lebih kukuh untuk melaporkan kes rasuah dalam pasukan tanpa rasa takut akan tindakan balas.

Beliau menekankan bahawa mewujudkan persekitaran yang menggalakkan ketelusan, integriti dan akauntabiliti dalam PDRM bukan sahaja dapat menghalang salah laku tetapi juga memupuk semula kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap pasukan polis.

“Sudah tiba masanya untuk memperjuangkan nilai-nilai yang mendefinisikan pasukan polis yang benar-benar terhormat dan cekap, memperkukuh mesej bahawa rasuah tidak mempunyai tempat dalam institusi penguatkuasaan undang-undang kita.

“Bersama-sama, kita dapat menuju masa depan yakni pasukan polis Malaysia dilihat sebagai benar-benar profesional serta menjadi lambang integriti dan keadilan,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan