AM > BERITA

PTPTN Akan Keluar Kenyataan Rasmi Berhubung Cadangan Henti Pembiayaan - Zambry

17/11/2024 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung cadangan untuk menghentikan pembiayaan bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang daripada 30 peratus.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata PTPTN akan berbuat demikian setelah meneliti beberapa aspek dan faktor secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan.

“PTPTN mempunyai jawatankuasa yang dibentuk dan biar mereka keluarkan kenyataan berpandukan kepada mesyuarat yang diadakan.

"Kita jangan membuat kesimpulan terlebih dahulu kerana PTPTN melihat semua aspek,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-40 di sini hari ini.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dalam Webinar KRI - Kepentingan Individu vs Kolektif: Dilema Pinjaman Pendidikan pada Khamis lepas memaklumkan bahawa perbadanan itu sedang menimbang perkara itu sebagai sebahagian usaha untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.

Zambry berkata PTPTN perlu memberi perhatian khusus kepada golongan yang langsung tidak pernah membayar balik pinjaman mereka dan ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti pekerjaan tidak stabil.

Beliau berkata adalah penting bagi peminjam untuk berinteraksi dengan pihak PTPTN supaya badan itu dapat memahami keadaan kewangan mereka.

“Tetapi ada juga yang langsung tidak peduli untuk melakukan pembayaran balik sejak hari pertama lagi, yang itu kita kena berikan perhatian,” katanya.

Terdahulu, Zambry menyerahkan sijil graduasi kepada 565 graduan termasuk anak bongsunya, Mukhlis Zambry yang menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Beliau berkata UIAM sangat bermakna buat dirinya yang merupakan antara graduan terawal yang dihasilkan oleh universiti itu manakala kelima-lima anaknya juga melanjutkan pengajian di institut pendidikan tinggi berkenaan.

Majlis Konvokesyen UIAM, yang berlangsung dari 16 hingga 20 Nov ini menyaksikan seramai 5,041 graduan pelbagai jurusan akademik menerima sijil graduasi masing-masing.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan