AM > BERITA

DOSM, UniSZA Meterai MoU Kukuhkan Pembangunan Statistik

18/11/2024 09:56 PM

KUALA TERENGGANU, 18 Nov (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan pembangunan kepakaran statistik, analitik data, serta pendekatan inovatif lain bagi memenuhi keperluan data semasa dan masa hadapan.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata antara bidang kerjasama yang dipersetujui ialah analisis data, penyelidikan perkongsian penemuan baharu dan peningkatan mutu maklumat rasmi yang tertakluk kepada undang-undang.

“MoU ini turut tertumpu kepada pembangunan kapasiti insan. Melalui kerjasama ini, pelajar dan kakitangan UniSZA akan mendapat manfaat melalui latihan praktikal, program peningkatan kemahiran serta pertukaran kepakaran.

“Kedua-dua pihak juga akan membangunkan modul latihan dan kursus yang berkaitan dengan data dan statistik untuk memperkukuhkan kualiti tenaga kerja masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata dalam konteks pemodenan statistik, beberapa inisiatif telah dilaksanakan seperti pelancaran kalkulator untuk pengiraan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bagi setiap daerah di seluruh negara, dan ia boleh diakses melalui pautan https://mypakw.dosm.gov.my/.

Beliau berkata DOSM turut menerbitkan laporan Keluaran Dalam Kasar Negara mengikut daerah pentadbiran bagi tahun 2015 hingga 2020 untuk dijadikan rujukan dalam merangka dan menilai pelan pembangunan di peringkat negeri serta daerah secara lebih berstruktur.

Perkongsian data bagi penerbitan berkenaan boleh diakses melalui pautan https://open.dosm.gov.my/.

“Kerjasama ini dijangka memberi impak besar kepada pembangunan statistik dan penyelidikan di Malaysia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi pemacu data dalam era ekonomi digital,” katanya.

MoU ke-25 dimeterai DOSM dengan institusi pengajian tinggi itu ditandatangani Mohd Uzir dan Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan